logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

UCAPAN MAJLIS ANUGERAH TOKOH SISWA 2022

20 MAC 2023


Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, dapat kita bersama-sama berkumpul pada malam ini bagi menyempurnakan Majlis Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2022.
  1. Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke majlis yang sangat bermakna ini.
  1. Ini adalah majlis yang kementerian adakan khusus bagi menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa dalam pelbagai bidang merangkumi akademik, sahsiah dan kokurikulum.
  1. Kita mahu mengiktiraf secara terus dan memberi galakan kepada mahasiswa yang telah mempamerkan kecemerlangan kepimpinan melalui penglibatan secara langsung dalam pelbagai lapangan pembangunan insaniah yang menyumbang kepada penyerlahan potensi diri.
  1. Malah, ini adalah masa kita untuk kita mengangkat dan meneladani bakat dan pencapaian bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam disiplin kesukanan, kebudayaan, kesukarelawanan, inovasi, keusahawanan, pengucapan awam dan lain-lain lagi.
  1. Saya difahamkan sebanyak 916 penyertaan telah direkodkan tahun ini. Jumlah ini menunjukkan peningkatan penyertaan yang signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
  1. Kesemua pencalonan ini dicerakinkan kepada 18 penerima anugerah mengikut kategori dan 1 anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan.
  1. Dan malam ini adalah kemuncaknya. Jadi, malam ini adalah malam mahasiswa!

Tuan-tuan, puan-puan dan mahasiswa sekalian,

  1. Malam ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengajukan satu persoalan besar pada semua. Apakah sebenarnya nilai dan makna memasuki universiti?
  1. Semasa pembentangan perutusan tahun baharu KPT akhir Januari lalu. Saya telah kongsikan tentang ikhtiar ibu bapa yang menggagahi kepayahan hidup, semata-mata mahu menghantar anak ke menara gading.
  1. Pada mereka, ini langkah awal untuk mengubah takdir hidup dan masa depan keluarga.
  1. Namun, itu pemikiran dan kepercayaan ibu bapa.
  1. Persoalannya, bagaimana kalian selaku mahasiswa melihat dan memaknakan semua ini?
  1. Apakah makna memasuki universiti bagi seorang mahasiswa?
  1. Adakah mengikuti pengajian tinggi di universiti tidak lebih dari sekadar proses mendapat segulung ijazah? Lalu mengejar pekerjaan dengan gaji terbanyak dalam masa paling singkat?
  1. Atau apakah proses ini sebenarnya?
  1. Pada saya, dan bagi kami di pihak Kementerian. Mandat dan tugas kami adalah memastikan kalian mendapat pendidikan terbaik dari pengajar paling berkualiti.
  1. Pada masa yang sama, kementerian berperanan memberikan segala ruang dan peluang untuk mahasiswa mendapat pengalaman hidup yang diperlukan dalam meniti kedewasaan.
  1. Ini mandat dan tugas yang saya dan kementerian pikul dengan penuh iltizam dan pertanggungjawaban.
  1. Kementerian mahu memastikan 3-4 tahun kehidupan kalian di bawah seliaan KPT, menjadi tahun-tahun yang bermakna dalam hidup.
  1. Tahun-tahun yang membuka pemikiran. Tahun-tahun yang meruntuhkan sebarang ketakutan, prejudis atau ketidakyakinan dalam diri.
  1. Dan komitmen ini, kami pegang tanpa bersikap apologetik dan berdolak dalih.
  1. Cuma, pada masa yang sama, seperti yang saya sering tekankan. Kalian para mahasiswa juga sebenarnya harus memainkan peranan.
  1. Anda mesti memberi makna dan definisi tersendiri. Apa yang kalian mahu cari dan belajar semasa di universiti?
  1. Persoalan ini, saya pulangkan kepada saudara saudari semua yang bergelar mahasiswa.

Hadirin sekalian,

  1. Sebelum berakhir, terima kasih saya ucapkan kepada pihak JPT dan UPM selaku sekretariat bersama bagi ATS 2022 di atas kejayaan menganjurkan Majlis pada malam ini.
  1. Tidak dilupakan buat barisan panel juri ATS 2022 serta semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pelaksanaan ATS 2022.
  1. Akhir sekali, tahniah saya ucapkan kepada semua penerima anugerah. Dan tahniah kepada semua mereka yang dicalonkan.
  1. Teruskan menjadi contoh yang baik kepada yang lain.
  1. Sudah pasti saya sangat berbangga, malah berterima kasih kepada semua kalian yang hadir pada malam ini.
  1. Tahniah semua. Dan selamat maju jaya. Sekian terima kasih.

Muat Turun:

pdf Ucapan Anugerah Tokoh Siswa 2022.pdf (70 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 9065