Kementerian Pendidikan Malaysia Terima Peruntukkan Terbesar Bajet 2020

Bertemakan "Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama”, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat Bajet 2020 yang dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan di Parlimen hari ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan Kerajaan, dan meneruskan matlamat Wawasan 2020 dengan trajektori pertumbuhan baharu berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohamad.

Sebagaimana tahun 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana terus menjadikan KPM sebagai penerima peruntukan terbesar daripada peruntukan belanjawan Kerajaan Pusat iaitu sebanyak RM64.1 bilion pada tahun 2020 berbanding RM60.2 bilion pada tahun 2019. Ini sekaligus memperlihatkan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan untuk terus menyediakan kemudahan pendidikan yang berkualiti dan menyeluruh kepada rakyat dengan mengambil kira cabaran semasa dan keperluan masa depan.

Melalui jumlah terbesar tersebut, kerajaan akan menambah peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah daripada RM652 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 kepada RM735 juta pada tahun 2020. Malah pada Bajet 2020, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun 2020, terutamanya di Sabah dan Sarawak. Selain itu kerajaan turut akan membina sekolah di beberapa tempat seperti Langkawi, Hulu Langat, Kulai, Putrajaya, Pasir Gudang, Tumpat, Marang dan Johor Bahru dalam menyediakan fasilliti yang selesa kepada murid di sekolah.

KPM turut ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan telah memberikan keutamaan kepada Sekolah Kebangsaan dengan menyediakan peruntukkan sebanyak RM300 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah pada tahun 2020.

Bagi meningkatkan kompetensi dalam Bidang Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) kerajaan akan mempertingkatkan peruntukkan program TVET ini dari RM5.7 Billion pada tahun 2019 kepada RM 5.9 Billion pada tahun 2020.

Disamping itu perkara yang menggembirakan kepada semua pelajar lepasan Kolej Vokasional apabila kerajaan telah bersetuju agar Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menawarkan kursus ijazah untuk mereka.

Kerajaan juga tidak melupakan kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK). pada tahun 2020 kerajaan peruntukan sebanyak RM23 juta bagi memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU). Ini selari dengan dasar penolakan sifar (zero reject) yang telah diperkenalkan oleh KPM di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
11 Oktober 2019

Cetak Emel