• Utama
  • Media
  • Kenyataan Media
  • Pengendalian Aktiviti Akademik Di Kampus Institusi Pendidikan Tinggi Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan

Pengendalian Aktiviti Akademik Di Kampus Institusi Pendidikan Tinggi Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 16 Mei 2020 telah meluluskan cadangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan pengendalian aktiviti akademik di kampus Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) semasa dan pasca PKP.

KPT  ingin  memaklumkan bahawa semua aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) hendaklah dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember 2020. Semua aktiviti PdP secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.

Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada lima (5) kategori pelajar berkeperluan untuk pulang ke kampus secara berperingkat bagi melaksanakan PdP seperti berikut:

Dengan serta-merta

i. Pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) diberikan kebenaran menyambung penyelidikan dengan kadar segera. Kelonggaran ini hanya dibenarkan kepada pelajar yang berkeperluan hadir secara fizikal ke makmal, bengkel, studio reka bentuk atau memerlukan peralatan khusus bagi menjalankan penyelidikan.

Tertakluk kepada tarikh penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat

i.Pelajar Semester/ Tahun Akhir bagi pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang perlu melaksanakan kerja-kerja klinikal, latih amal, makmal, bengkel, studio reka bentuk, praktikal atau yang memerlukan peralatan khusus. Pelajar dalam kategori ini dibenarkan untuk melaksanakan PdP di kampus seawal 1 Julai 2020.

ii.Pelajar Semester/ Tahun Akhir yang tidak mempunyai akses yang diperlukan dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian. Pelajar kategori ini dibenarkan untuk pulang ke kampus seawal 1 Julai 2020, dan menggunakan infrastruktur di kampus bagi PdP secara dalam talian.

iii. Pelajar berkeperluan khas yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik dan Kolej Komuniti yang perlu mendapat bimbingan secara bersemuka bagi melaksanakan PdP kerana masalah pembelajaran, adalah dibenarkan seawal 1 Ogos 2020.

iv. Pelajar baharu bagi sesi akademik 2020/2021 di semua UA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti bagi kemasukan ke peringkat Sijil, Asasi dan Diploma untuk lepasan SPM serta kemasukan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi lepasan STPM/setaraf. Kemasukan pelajar adalah secara berperingkat seperti berikut:

a. Kemasukan pelajar Sijil dan Diploma Politeknik serta Kolej Komuniti seawal 1 Julai 2020;

b. Kemasukan pelajar Asasi, Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPTS seawal 1 Julai 2020;

c. Kemasukan pelajar Asasi dan Diploma di UA seawal 1 Ogos 2020; dan

d. Kemasukan pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah mod penyelidikan di UA dan IPTS seawal 1 Oktober 2020.

KPT mengarahkan pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan  dan mengutamakan langkah keselamatan serta penjarakan sosial. Penetapan ini adalah tertakluk kepada arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. 

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

27 MEI 2020

Cetak Emel