Pelantikan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia

Sukacita dimaklumkan bahawa YBrs. Profesor Dr. Mohd Roslan bin Sulaiman dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) baharu berkuat kuasa mulai 1 September 2020 hingga 31 Ogos 2023.

YBrs. Profesor Dr. Mohd Roslan bin Sulaiman, 51 tahun berkelulusan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1994 dan seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Fisiologi Sistem Saraf di The University of Edinburgh, Scotland United Kingdom pada tahun 1999.

Beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM selama hampir tiga (3) tahun serta jawatan-jawatan pentadbiran dan akademik yang lain, antaranya Pengerusi Jemaah Pengetua Kediaman Pelajar UPM dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM. Beliau juga telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan fungsi (tugas) sebagai Naib Canselor UPM sejak 1 Julai 2020.

Beliau berpengalaman luas dalam pengurusan hal ehwal pelajar serta memastikan pelbagai program dilaksanakan dengan objektif utama ke arah memperkasakan budaya kesukarelawanan, aspek kepemimpinan dan kemahiran insaniah (soft skills) pelajar. Beliau juga telah menerbitkan lebih daripada 200 hasil penyelidikan dalam jurnal berimpak tinggi.

Saya percaya dengan pelantikan ini, YBrs. Profesor Dr. Mohd. Roslan dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau dalam mengekalkan kegemilangan UPM dan seterusnya mengembalikan bidang pertanian berteknologi tinggi sebagai bidang tujahan utama UPM.

DATO' DR. NORAINI AHMAD

Menteri Pengajian Tinggi                                                                              

17 Ogos 2020

Cetak Emel