Penangguhan Kemasukan Pelajar (Baharu dan Lama) dari Kawasan Zon Merah COVID-19 ke IPT

Berikutan peningkatan kes COVID-19 di beberapa daerah di negara ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menyarankan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menangguhkan dahulu urusan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka di kampus masing-masing, yang dijadualkan bermula Oktober ini.

Proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit bolehlah dilakukan secara dalam talian. Para pelajar boleh pulang ke kampus masing-masing mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada setelah keadaan kembali pulih.

Bagi pelajar yang bukan dari kawasan zon merah, kemasukan ke IPT kekal mengikut kalendar akademik IPT masing-masing. Sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan balik ke kampus serta sesi pengajaran dan pembelajaran boleh dirujuk terus kepada IPT masing-masing.

KPT sekali lagi menegaskan bahawa semua IPT telah diarah untuk memastikan pelaksanaan aktiviti akademik di kampus mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan. Pada masa yang sama, kementerian ingin menasihatkan pelajar supaya terus mengambil langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

DATO’ DR. NORAINI AHMAD

Menteri Pengajian Tinggi

27 September 2020

Cetak Emel