KPT Cakna Usahawan Pelajar Menerusi Program KPT-MEDAC Siswapreneur

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding – MoU) dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi melaksanakan Program KPT-MEDAC Siswapreneur yang menawarkan pembiayaan mikro kredit kepada golongan usahawan pelajar melalui TEKUN Nasional.
 
Pembiayaan mikro kredit yang ditawarkan mensasarkan usahawan pelajar dari Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti dengan peruntukan berjumlah RM20 juta. Melalui program ini, usahawan pelajar berpeluang untuk memula dan mengembangkan perniagaan mereka semasa dalam tempoh pengajian. KPT menjangkakan bahawa dengan adanya program-program kerjasama seumpama ini, jumlah usahawan pelajar dan usahawan graduan akan dapat ditingkatkan, selain dapat membantu meringankan beban kewangan mereka.
 
Sebagai permulaan, Program KPT-MEDAC Siswapreneur akan dilaksanakan secara rintis di 15 buah IPT terpilih untuk tempoh enam bulan pertama sebelum diperluaskan kepada IPT lain. Pusat/Unit Keusahawanan IPT akan membuat saringan ke atas permohonan pembiayaan daripada usahawan pelajar yang berpotensi sebelum dikemukakan kepada TEKUN Nasional untuk kelulusan.
 
IPT perintis yang telah dikenal pasti ini terdiri daripada empat buah (4) Universiti Awam dan sebelas (11) buah politeknik dan kolej komuniti, iaitu:
  • Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS);
  • Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA);
  • Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM);
  • Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP);
  • Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS);
  • Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS);
  • Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS);
  • Politeknik Sandakan Sabah (PSS);
  • Politeknik Ungku Omar (PUO);
  • Politeknik Kuching, Sarawak (PKS);
  • Kolej Komuniti Baling;
  • Kolej Komuniti Kok Lanas;
  • Kolej Komuniti Arau;
  • Kolej Komuniti Manjung; dan
  • Kolej Komuniti Masjid Tanah.
Dalam acara menandatangani MoU ini, KPT telah diwakili oleh YBhg. Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha KPT dan YB Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir, Pengerusi TEKUN Nasional, dengan disaksikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dan YB Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
 
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
26 November 2020

Cetak Emel