Pelantikan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baharu, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2023.

YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, 54 tahun berkelulusan Sarjana Muda (BSc.) Kejuruteraan Petroleum dan Sarjana (MSc.) Kejuruteraan Kimia dari UTM dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Proses dari University of Strathclyde, Scotland, United Kingdom.

Beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM sejak tahun 2015 dan mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam pembangunan teknologi membran.

Beliau juga adalah Editor jurnal Desalination, The International Journal on the Science and Technology of Desalting and Water Purification, terbitan Elsevier UK dan merupakan saintis Asia pertama dilantik sebagai Editor sejak pelancaran jurnal tersebut 50 tahun yang lalu.

Sehingga kini, beliau telah menerbitkan lebih 900 jurnal berwasit, 8 buah buku karya asli, 66 bab dalam buku dan telah menyunting 10 buah buku. Beliau juga terlibat dalam penghasilan lebih 30 buah paten.

Saya percaya dengan pelantikan ini, YBhg. Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau dalam mengekalkan kegemilangan UTM sebagai salah sebuah universiti penyelidikan terbaik negara.

DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD

Menteri Pengajian Tinggi

21 Disember 2020

Dalam fail .docx

Dalam fail .pdf

Cetak Emel