• Utama
  • Media
  • Kenyataan Media
  • KPM Mempelawa Universiti Swasta Tempatan Dan Antarabangsa Membuka Kampus Cawangan Di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh

KPM Mempelawa Universiti Swasta Tempatan Dan Antarabangsa Membuka Kampus Cawangan Di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh

PAGOH, 11 November – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempelawa universiti-universiti swasta tempatan dan universiti antarabangsa membuka kampus cawangan di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP).

Perkara itu dinyatakan oleh YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia pada sidang media sempena lawatan YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Pagoh ke HPTP di sini hari ini.

YB Dr. Maszlee turut memaklumkan bahawa Universiti Muhamadiyah Prof. Dr. Hamka (Uhamka), pusat pengajian tinggi Indonesia, telah bersetuju untuk membuka kampus cawangan di Malaysia. Kampus ini adalah pertama di Malaysia yang bakal memberi peluang kepada pelajar-pelajar dari Indonesia belajar di Malaysia.

"Pada Julai lalu dalam perbincangan dengan saya, Universiti Muhamadiyah telah melahirkan hasrat untuk membuka kampus cawangan di Malaysia. Hari ini, mereka menyatakan kesediaan untuk membuka kampus cawangan di HPTP”.

“KPM berpandangan jauh dan membuka peluang luas kepada pelajar-pelajar sekitar malah seluruh negara untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di sini,” tambah beliau.

Turut hadir pada lawatan hari ini ialah Menteri Besar Johor, YAB Dato' Osman Sapian.

YB Dr Maszlee berkata, “pembangunan hab dirancang akan menempatkan seramai 10,800 orang pelajar, dan dengan itu hab pendidikan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada peningkatan aktiviti ekonomi di Pagoh dan kawasan sekitarnya bahkan melimpah ke kawasan lain di utara Negeri Johor khasnya dan juga Melaka serta Malaysia amnya”.

"Pembinaan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh ini telah membuka peluang kepada lebih ramai pelajar untuk meneruskan pengajian dalam bidang ditawarkan oleh empat buah IPTA yang beroperasi secara berpusat di sini”.

"Para pelajar dan tenaga pensyarah juga berpeluang untuk berinteraksi secara lebih rapat di samping dapat bertukar-tukar informasi pendidikan memandangkan mereka semua beroperasi di bawah satu bumbung," katanya.

HPTP diilhamkan oleh YB Tan Sri Muhyiddin semasa menjadi Menteri Pendidikan.

Dalam pada itu, YB Tan Sri Muhyiddin berkata, “saya berharap agar Bandar Universiti Pagoh akan berkembang menjadi bandar utama dalam pembangunan ilmu serta dapat mewujudkan jalinan kerjasama antara penduduk setempat.

Beliau berharap agar dengan jalinan kerjasama tersebut, kemahiran, kepakaran dan teknologi yang dimiliki oleh pihak universiti dapat membantu membangunkan kawasan setempat terutama dalam sektor industri asas tani.

HPTP dilaksanakan secara PFI (Private Fund Initiative) di mana Sime Darby Property Selatan Sdn. Bhd. (SDPS) telah diberi hak untuk membina dan menyiapkan kemudahan serta menyelenggara projek tersebut dengan pembiayaan yang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi.

Kini seramai 7,219 orang pelajar sedang mengikuti sesi pembelajaran yang dilaksanakan oleh UTHM, UIAM, UTM dan Politeknik Tun Syed Nasir.

Sempena lawatan hari ini, YB Tan Sri Muhyiddin, YB Dr. Maszlee dan YAB Dato' Osman turut menanam anak pokok di Dataran Gunasama sebagai simbolik perasmian HPTP.

Kemudian mereka meninjau kemudahan di HPTP dan diberi taklimat mengenai kemajuan projek itu. Taklimat perkembangan semasa HPTP disampaikan oleh YBhg. Encik Mohamad Azhan Md. Amir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPM serta taklimat kemajuan Bandar Universiti Pagoh oleh YBhg. Dato’ Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Amin Jaffri selaku wakil Sime Darby Property.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
11 November 2018

Cetak Emel