• Utama
  • Media
  • Teks Ucapan
  • Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi- Career Advancement Programme (KPT-CAP)

Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi- Career Advancement Programme (KPT-CAP)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
 
MUKADIMAH
  • Alhamdulillah, petang ini kita diberikan kesempatan untuk bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi – Career Advancement Programme atau KPT-CAP.
  • Di kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri yang sudi hadir untuk menyempurnakan majlis kita hari ini. Terima kasih juga diucapkan kepada Yang Berhormat Menteri, Timbalan Menteri, barisan kepimpinan kementerian-kementerian dan rakan-rakan industri yang turut hadir menyantuni acara kita petang ini.
Hadirin sekalian,
 
LANDSKAP SEMASA KEBOLEHPASARAN GRADUAN NEGARA
 
  • Kajian Pengesanan Graduan 2019 yang dilaksanakan oleh KPT menunjukkan bahawa 189,543 graduan atau 63.5 peratus daripada 330,557 graduan tahun 2019, berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian mereka. Manakala 49,875 graduan atau 16.7 peratus sedang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi; 4,029 atau 1.3 peratus sedang mengikuti latihan untuk meningkatkan kemahiran; 13,943 atau 4.7 peratus telah menerima tawaran pekerjaan dan sedang menunggu penempatan. Manakala, baki seramai 41,161 orang iaitu 13.8 peratus masih belum bekerja.
  • Pada tahun 2020, dijangkakan sejumlah 300,000 graduan bakal menamatkan pengajian masing-masing.
  • Mengambil kira impak pandemik COVID-19, KPT mengunjurkan 25 peratus atau 75,000 bakal graduan kita mungkin terjejas peluang mendapat pekerjaan dalam tempoh enam (6) bulan selepas menamatkan pengajian. Justeru, berdasarkan 41,161 graduan yang belum bekerja dalam tahun 2019, serta unjuran 75,000 bagi tahun semasa, maka dianggarkan seramai 116,161 graduan yang perlu diberi perhatian untuk ditingkatkan lagi kebolehpasaran mereka.
  • Antara ikhtiar yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian adalah dengan menyediakan kemudahan berbentuk bantuan dana kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Ini termasuklah inisiatif MyBrain Science; Biasiswa Menteri Pengajian Tinggi dan Bantuan Kewangan pelajar OKU. Pihak kementerian juga telah mengemukakan cadangan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk meneruskan pelaksanaan program MyBrain15 atas kejayaannya memberikan penajaan kepada 56,910 pelajar setakat ini.
  • Kementerian turut bekerjasama rapat dengan Yayasan Tenaga Nasional bagi menyediakan pembiayaan kewangan kepada pelajar yang berkelayakan melalui program My Brighter Future (MyBF).
  • Proses padanan pekerjaan kepada graduan yang masih belum bekerja turut dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial atau PERKESO menerusi portal MyFutureJobs.
  • Kementerian dengan kerjasama pihak TEKUN Nasional akan turut memperkenalkan Skim Pembiayaan Mikro kepada mahasiswa bagi membantu mereka mengembang dan meningkatkan perniagaan masing-masing.
  • Pihak PUNB pula akan membiayai program keusahawanan berkonsepkan mentor-mentee untuk membolehkan bimbingan secara langsung daripada usahawan-usahawan yang telah berjaya. Bagi maksud ini, satu memorandum persefahaman akan dimeterai antara KPT dengan PUNB.
  • Bagi memudahkan bakal graduan membangunkan kerjaya dan meningkatkan kebolehpasaran mereka, Kementerian mengambil inisiatif membangunkan portal dengan izin Graduates Reference Hub for Employment and Training atau ringkasnya GREaT.
  • Antara maklumat dan perkhidmatan yang disediakan dalam portal sehenti ini adalah seperti perkhidmatan padanan pekerjaan; permohonan untuk mengikuti program reskilling dan upskilling; permohonan kemudahan penajaan dan bantuan kewangan melanjutkan pengajian; perkhidmatan untuk mendapatkan kaunseling kerjaya; e-profiling dan sebagainya.
  • Kementerian yakin inisiatif seumpama ini mampu memberikan impak dan nilai tambah kepada graduan terutamanya dalam menangani isu kebolehpasaran graduan atau GE.
Hadirin sekalian,
 
DANA PENJANA KPT-CAP
 
  • Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau lebih dikenali sebagai PENJANA sebagai langkah rangsangan untuk menangani situasi ekonomi semasa dan meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat. Terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah PENJANA. Daripada jumlah ini, alhamdulillah, KPT telah diperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan di bawah PROGRAM PENJANA KPT-CAP.  Terima kasih Yang Amat Perdana Menteri. Terima kasih Kementerian Kewangan Malaysia.
  • Untuk makluman para hadirin sekalian, terdapat tiga (3) program utama yang digerakkan oleh KPT di bawah peruntukan PENJANA ini. Yang pertamanya ialah JOB MATCHING AND PLACEMENT, iaitu satu program yang dirancang untuk meningkatkan kemahiran peserta berdasarkan keperluan industri.
  • Graduan yang mengikuti program ini dengan jayanya akan ditawarkan pekerjaan di syarikat-syarikat yang telah memberikan jaminan pekerjaan melalui letter of commitment.
  • Program kedua ialah PROGRAM BERTERUSAN KEUSAHAWANAN, iaitu program latihan yang berupaya meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peserta dalam bidang keusahawanan sehingga berupaya menubuhkan syarikat pemula. Graduan-graduan ini akan diberikan bantuan pembiayaan yang disediakan oleh agensi pembiaya yang diiktiraf.
  • Ketiganya pula ialah program yang bercirikan GIG ECONOMY. Program latihan ini mampu membantu peserta untuk menjana pendapatan melalui aktiviti berbentuk freelancing.
Yang Amat Berhormat Tan Sri, Tuan-tuan dan Puan-puan,
  • Semua program yang dirancang di bawah Dana PENJANA KPT-CAP adalah suatu manifestasi komitmen Kementerian untuk menzahirkan graduan yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan, serta mampu berdaya saing di semua peringkat. Kita juga maklum bahawa graduan yang mahir merupakan tunjang kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara untuk jangka masa yang panjang.
  • Kementerian mensasarkan sekurang-kurangnya seramai 20,000 graduan akan mendapat manfaat dari program PENJANA KPT-CAP ini. Sehingga hari ini sahaja, sebanyak 140 program telah disusun melibatkan sinergi dengan tidak kurang daripada 100 buah syarikat. Terima kasih diucapkan kepada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian! Saya mengharapkan lebih banyak syarikat untuk turut serta dalam program ini.
  • Saya yakin melalui strategi yang betul, kita mampu mencapai kejayaan yang lebih cemerlang bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dan dalam masa yang sama menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi negara.
Yang Amat Berhormat Tan Sri, Tuan-tuan dan Puan-puan,
 
  • Akhir kata, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri atas kesudian hadir menyempurnakan program kita pada petang ini. Terima kasih juga kepada semua warga KPT dan UKM selaku tuan rumah yang telah memainkan peranan signifikan dalam merencana dan mengatur majlis pelancaran ini dengan baik sekali.
Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah
Assalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.

Cetak Emel