• Utama
  • Media
  • Teks Ucapan
  • Teks dan Slaid Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Pakej Pelan Data & Peranti Kepada Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT)

Teks dan Slaid Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Pakej Pelan Data & Peranti Kepada Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT)

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera.

Tuan-tuan dan Puan-puan serta seluruh warga pendidikan tinggi sekalian.

MUKADIMAH DAN EKSPRESI PENGHARGAAN

  • Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya jua, maka dapat kita bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Pakej Pelan Data dan Peranti Kepada Pelajar Institut Pendidikan Tinggi (IPT) pada petang Jumaat yang barokah ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak sama ada warga IPT, pihak industri dan para mahasiswa khususnya, yang berkesempatan bersama-sama menyaksikan majlis pada petang ini meskipun berlangsung secara maya. Saya percaya, inilah normal baharu yang perlu kita rai dan jayakan, dalam pada kita sedang berjuang melandaikan lengkungan pandemik COVID-19 yang kini telahpun masuki gelombang ketiga.
  • Harapan saya semoga seluruh rakyat Malaysia, khususnya para siswa dan siswi IPT sentiasa berada dalam perlindungan Allah Subhanahuwa Ta’ala, serta bebas dari segala penyakit dan wabak. Sesungguhnya, tiadalah daya kita melainkan memohon ke hadrat Ilahi semoga negara kita, dan dunia amnya segera dibebaskan daripada ujian-ujian besar yang melanda. Hanya ke hadrat Allah sahajalah tempat kita bergantung harap dan memohon doa.

PANDEMIK COVID-19 DAN CABARAN KEPADA SEKTOR PENGAJIAN  TINGGI

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  • Umum mengetahui bahawa pandemik COVID-19 telah menyumbang kepada krisis kemanusiaan dan kesihatan terburuk di seluruh dunia. Sedar atau tidak, krisis ini telah menjadi penggerak kepada kita semua untuk beradaptasi dengan perubahan seiring normal baharu. Sektor pengajian tinggi adalah antara sektor yang paling terkesan ekoran daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kesan paling nyata ialah aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu dilaksanakan secara dalam talian bagi menggantikan kaedah bersemuka yang lazimnya diamalkan sebelum ini.
  • Walau bagaimanapun, pandemik COVID-19 yang melanda dunia tidak seharusnya dilihat dari sudut musibah yang melanda semata-mata. Kita harus melihat apa yang berlaku dari perspektif yang positif dan menjadikannya sebagai satu ruang untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif. Ini penting supaya adaptasi dalam pelbagai aspek kehidupan dapat dipermudahkan demi menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa yang begitu pantas berubah.
  • Tidak dapat dinafikan COVID-19 telah menjadi agen transformasi yang dominan pada ketika ini. Dari aspek pendidikan, pandemik ini telah menjadi pemangkin kepada PdP berteknologi, selaras dengan Revolusi Industri 4.0 dan Revolusi Pendidikan 5.0. Secara tidak langsung, keadaan ini telah memacu usaha kita untuk beriltizam dan komited dalam mengarusperdanakan Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global, sebagaimana yang dinyatakan dalam Lonjakan Kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi) – PPPM (PT) 2015 – 2025.
  • Menyedari akan kepentingan dan keperluan kaedah PdP normal baharu yang menekankan aspek pengkomputeran awan atau cloud computing sebagai alternatif kepada PdP tradisional, KPT terpanggil untuk menyantuni para pelajar IPT dengan menawarkan pelbagai bantuan dan inisiatif yang mampu memberikan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta seimbang dengan pendekatan PdP secara dalam talian.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

  • Pengalaman pelajar-pelajar baharu kemasukan sesi 2020/2021 sangat berbeza. Ramai antara mereka yang harus memulakan kemasukan ke menara ilmu dengan melalui minggu suai kenal secara dalam talian. Segala-galanya dalam talian. Belajar secara dalam talian, melihat serta mengenali kampus universiti pun secara dalam talian, melihat para pensyarah dan rakan sekuliah mereka juga secara dalam talian. Alam siber dan alam universiti yang mereka tempuhi di peringkat awal ini kebanyakannya berlaku secara maya. Dalam erti kata lain, alam maya dan alam realiti fizikal mereka dihubungkan semuanya secara dalam talian.
  • Keadaan ini adalah sesuatu yang unik, walaupun mungkin bukanlah sesuatu yang menggembirakan semua pihak. Pihak Kementerian sedar bahawa tidak semua pelajar kita mempunyai akses kepada kemudahan dalam talian. Perkara ini pastinya menjejaskan aktiviti PdP yang perlu dijalani. Saya juga mempunyai ahli keluarga dan saudara mara yang turut melalui apa yang saudara dan saudari semua lalui dan rasakan. Setiap keluh dan kesah yang diluahkan sering kali menyentuh hati sanubari saya.

Saya mendoakan semoga saudara-saudari semua bertabah dan terus menguatkan semangat menghadapi semua cabaran ini.

  • Susulan itu, atas semangat KPT Prihatin, Kementerian telah mengambil beberapa langkah dengan melaksanakan beberapa inisiatif bagi memudahkan para pelajar sekalian akses kepada PdP secara dalam talian. Kementerian berharap dengan adanya usaha ini, proses pengajian saudara dan saudari sekalian menjadi lebih kondusif di samping sedikit sebanyak berupaya meringankan bebanan kewangan yang dihadapi. Ini lebih-lebih lagi kepada mereka yang datang dari kelompok keluarga B40 dan berada di kawasan yang liputan internetnya kurang memuaskan. Besar harapan Kementerian agar dengan adanya inisiatif yang bakal saya maklumkan nanti dapat membantu dan memudah cara semua aktiviti pembelajaran pelajar universiti.

BANTUAN TUNAI RM50 KEPADA SEMUA PELAJAR BAHARU

Para penonton yang setia dalam talian,

  • Seperti yang kita semua sedia maklum, melalui pengumuman Penangguhan Pendaftaran Secara Fizikal atau Bersemuka Pelajar IPT pada 2 Oktober 2020 lalu, KPT telah mencadangkan agar semua urusan pendaftaran pelajar dilaksanakan secara dalam talian. Kementerian maklum bahawa ramai pelajar yang terkesan secara fizikal mahupun mental terhadap pengumuman tersebut, namun keputusan penting itu diambil demi memelihara kemaslahatan dan keselamatan pelajar IPT.
  • Antara yang paling terkesan sudah tentunya pelajar baharu memandangkan ini merupakan pengalaman kali pertama mereka untuk menyambung pengajian di puncak menara ilmu. Pihak Kementerian amat prihatin terhadap nasib para pelajar yang tidak berkemampuan untuk mengakses internet bagi menghadiri kuliah atau kelas secara dalam talian. Lebih-lebih lagi apabila mereka perlu berorientasi dengan sistem pembelajaran yang berbeza di peringkat tertiari atau pendidikan tinggi.
  • Justeru, dalam usaha meringankan beban pelajar untuk menanggung kos bagi mengikuti PdP secara dalam talian, KPT menawarkan Pemberian Bantuan Tunai Sebanyak RM50 kepada semua Pelajar Baharu Sesi 2020/2021 yang keseluruhannya bernilai RM3.8 juta. Melalui bantuan tunai ini, seramai 76,153 orang pelajar bakal menikmati faedah dan diharap, dapat membantu mereka mengikuti PdP secara dalam talian mengikut jadual kuliah yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan universiti masing-masing.
  • Peruntukan ini sebenarnya datang daripada penjimatan perbelanjaan geran mengurus KPT susulan COVID-19 dan kami percaya peruntukan yang ada wajar disalurkan khusus kepada para pelajar baharu di universiti awam yang terjejas dengan keadaan yang berlaku. Harapan saya semoga bantuan ini dapat dimanafaatkan sebaiknya oleh para pelajar sekalian.

BANTUAN PELAN DATA KEPADA B40 DAN PAKEJ PELAN DATA INTERAKTIF ISTIMEWA KEPADA SEMUA PELAJAR IPT

Mahasiswa dan Mahasiswi yang saya kasihi,

  • Sesungguhnya, akses kepada capaian internet sangat kritikal bagi membolehkan pelajar menjalani sesi PdP secara dalam talian dengan kondusif. Tidak dinafikan, pelajar perlu menanggung kos yang tinggi bagi melanggani pakej pelan data untuk capaian internet tersebut. KPT komited untuk memastikan semua pelajar IPT mampu mendapatkan capaian internet walau di mana sahaja mereka berada. Hal ini juga penting bagi Kementerian menjayakan aspek ekuiti apabila semua pelajar mendapat hak pendidikan yang setara tanpa jurang antara bandar mahupun luar bandar.
  • Sehubungan dengan itu, melalui penyelarasan dan musyawarah yang telah dibuat bersama pihak universiti awam, Kementerian akan meneruskan kesinambungan terhadap Bantuan Pelan Data yang sehingga kini telah melibatkan seramai 320,396 orang pelajar kategori B40. Melalui bantuan Pelan Data tersebut, sebanyak 225,784 unit kad SIM diagihkan kepada pelajar dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, khususnya Yayasan YTL dan Lembaga Tabung Haji. Baki seramai 94,612 orang pelajar pula akan mendapat pemberian tunai bagi tujuan pembelian pelan data. Dianggarkan peruntukan sebanyak RM24 juta disediakan bagi tujuan penyaluran inisiatif Bantuan Pelan Data tersebut.
  • Selain itu juga, perundingan dan kesepakatan yang dicapai antara Kementerian dan beberapa syarikat telekomunikasi membolehkan semua pelajar IPT bakal menikmati Pakej Pelan Data Interaktif Istimewa yang khusus. Pakej Pelan Data Istimewa yang tidak dapat ditemui dalam pasaran semasa ini ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Digi, Telekom Malaysia dan Maxis. KPT sesungguhnya amat menghargai ketersediaan pihak syarikat-syarikat telekomunikasi ini atas peranan mereka dalam menjayakan usaha murni ini.

BANTUAN PERANTI (KOMPUTER RIBA) KEPADA PELAJAR B40 BERSASAR

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  • Kementerian turut cakna mengenai kekangan waktu yang sangat singkat untuk pelajar membuat persediaan pembelajaran secara dalam talian. Kementerian juga melihat terdapat keperluan yang signifikan dalam meneruskan kesinambungan terhadap bantuan peranti seperti komputer riba kepada golongan pelajar IPT yang memerlukan.
  • Justeru, Kementerian melalui penyelarasan di universiti awam telah mengambil langkah proaktif dengan memperuntukkan sebanyak 8,965 unit peranti komputer riba khusus kepada pelajar di bawah kategori B40 secara bersasar. Seramai 5,965 orang pelajar bakal menerima bantuan komputer riba secara percuma. Selain itu, seramai 2,700 orang pelajar pula akan menerima bantuan dalam bentuk pemberian tunai bagi tujuan yang sama manakala seramai 300 orang pelajar akan menikmati bantuan pinjaman kewangan bagi memiliki komputer riba yang diperlukan dengan tawaran harga istimewa. Jumlah keseluruhan yang diperuntukkan bagi membiayai bantuan pemberian peranti ini adalah dianggarkan sebanyak RM13 juta.
  • Pada masa yang sama, semua pelajar IPT turut ditawarkan diskaun istimewa khas daripada syarikat pengeluar peranti seperti Acer, Samsung dan Apple.

Diskaun hebat ini hanya boleh dinikmati oleh mereka yang berstatus pelajar IPT sahaja bagi meringankan beban untuk memiliki peranti seperti komputer riba agar dapat mengikuti sesi PdP secara dalam talian. KPT mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada pihak Acer, Samsung dan Apple atas kerjasama strategik ini.

  • Dengan pelbagai bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh pihak KPT bersama universiti awam yang turut mendapat bantuan dan sokongan pelbagai agensi kerajaan, NGO dan syarikat-syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan termasuk peralatan komputer, KPT percaya para pelajar IPT sekalian dapat memberikan fokus yang lebih baik kepada aspek pembelajaran mereka secara dalam talian.
  • KPT juga telah dan sedang berusaha dengan pihak kerajaan dan universiti awam bagi meningkatkan kapasiti prasarana di semua IPT. Selain itu, KPT juga menggesa semua IPT terus meningkatkan kualiti kandungan pengajaran dan pembelajaran secara digital, latihan kepada para tenaga akademik dan perkara-perkara lain yang berkaitan agar para pelajar di IPT dapat mengikuti pengajian mereka secara dalam talian dengan berkesan. Kepada pelajar dalam program pengajian yang memerlukan latihan bersemuka di makmal, studio, klinik dan bengkel, Insya Allah perkara ini boleh dilakukan secara berperingkat mengikut kesesuaian masa, tertakluk kepada keadaan penularan pandemik COVID-19 di negara kita.

PELANCARAN TABUNG PRIHATIN SISWA

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  • Impak pandemik COVID-19 telah meningkatkan bilangan golongan B40 di negara ini apabila ada dalam kalangan masyarakat kita yang kehilangan pekerjaan dan mengalami susut sumber pendapatan. Dalam hal ini, Kementerian sentiasa peka dan memahami kegawatan kewangan terutama yang dihadapi oleh pelajar dari keluarga golongan B40.
  • Bagi memastikan kelangsungan atau kemampuan untuk pelajar-pelajar ini meneruskan PdP secara dalam talian, KPT dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) melancarkan satu inisiatif crowdfunding melalui Tabung Prihatin Siswa. Inisiatif ini dilihat sebagai platform bagi mengajak pihak luar bersama-sama dengan KPT dalam menyalurkan sumbangan untuk membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan PdP tanpa kekangan.

PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  • Kerajaan dan KPT sangat prihatin dengan impak pandemik COVID-19 yang dihadapi oleh masyarakat khususnya pelajar di IPT. Besarlah hasrat Kementerian agar bantuan dan inisiatif yang ditawarkan ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar dalam situasi semasa berkaitan pandemik COVID-19 ini dan dimanfaatkan sebaiknya.

Sebagai menteri yang diberikan amanah besar menjaga aset berharga negara, saya mahu memastikan semua pelajar di IPT dapat mengikuti pembelajaran dengan sebaik mungkin walaupun berlaku perubahan kaedah PdP daripada konvensional kepada pendekatan berteknologi dalam talian.

  • KPT juga bersama dengan semua IPT sedang merancang dan berusaha menambah baik prasarana dan dimensi kandungan digital serta aplikasi komputer bagi memperkasakan agenda Pendigitalan Pendidikan dalam sektor pendidikan tinggi. Agenda ini penting bagi masa depan dan pembangunan bidang pendidikan tinggi di Malaysia.
  • Sesungguhnya kita semua harus bersedia membuat perubahan dalam kehidupan kita dengan bersikap positif, progresif, dinamik dan memiliki daya adaptasi yang tinggi dalam mendepani keadaan yang tidak menentu dan cepat berubah seperti yang kita sedang lalui sekarang. Kita harus sentiasa cekal, tidak mudah patah semangat dan harus terus tabah berusaha memperbaiko apa jua kelemahan yang wujud untuk menjadi lebih baik di masa hadapan.
  • Pesan saya, belajarlah bersungguh-sungguh kerana kami di Kementerian amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan anda semua. Saya juga berharap dan berdoa semoga para pelajar sekalian terus berwaspada, menjaga kesihatan dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan agar kita semua dapat berganding bahu dalam melandaikan lengkungan COVID -19 di negara ini.
  • Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan pelancaran majlis pada petang Akhir kata, dengan penuh takzim dan dengan lafaz yang mulia: Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini menyempurnakan Pelancaran Pakej Pelan Data dan Peranti Kepada Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi.

Sekian, Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima Kasih.

Slaid Ucapan

Cetak Emel