logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KPT KOMITED MEMBANTU OPERASI PASCA BANJIR DI JOHOR


  1. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited untuk menghulurkan bantuan bagi operasi membantu mangsa banjir yang telah melanda 10 daerah di negeri Johor iaitu Segamat, Kluang, Muar, Kota Tinggi, Johor Bahru, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Tangkak dan Mersing.
  1. Sehingga 17 Mac 2023, KPT melalui Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM) telah menggerakkan seramai 1,442 sukarelawan yang terdiri daripada 459 staf dan 983 pelajar dari seluruh negara bagi mengedarkan 3,081 Bakul Rahmah KPT serta keperluan asas seperti pakaian, kit kebersihan dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM345,100.00 keseluruhannya.
  1. KPT melalui Bridged Sukarelawan IPT juga telah dimobilisasikan bagi membantu mangsa terutama dalam kerja pembersihan bangunan awam seperti sekolah dan masjid dengan bekalan kelengkapan 80 unit waterjet, 21 buah waterpump dan 15 unit generator. Dalam operasi bantuan ini, KPT juga telah menyediakan sebanyak 29 buah bas/coaster, 36 buah SUB/4WD, 27 buah van, 10 buah lori dan 2 buah bot dan menubuhkan pasukan khas untuk memberikan perkhidmatan bantuan sokongan psikologi kepada mangsa yang terkesan secara individu mahupun berkelompok.
  1. Melalui semangat kerjasama dan keprihatinan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat turut dijadikan pusat penempatan sukarelawan Southern Volunteer sebagai kemudahan penginapan bagi 223 orang sukarelawan yang terdiri daripada 6 agensi kemanusiaan dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan penyampaian bantuan kepada mangsa banjir.
  1. Selain itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Perwira di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Parit Raja turut telah dibuka bermula 8 Mac 2023 dan masih beroperasi sehingga kini. Pusat ini telah menempatkan 2,554 orang mangsa tempatan yang terdiri daripada lebih 300 keluarga dengan kelengkapan tempat tidur, makanan, bekalan air bersih dan keperluan asas lain.
  1. Dalam perkembangan berkaitan, seramai 830 warga universiti yang terdiri daripada 776 pelajar dan 54 kakitangan di kesemua 20 Universiti Awam telah terkesan daripada banjir kali ini.
  1. Memandangkan pelajar kini dalam tempoh cuti semester dan sedang berada di kampung halaman bersama keluarga masing-masing, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) adalah tidak terjejas, namun kesesuaian pelaksanaannya akan dibuat sekiranya situasi banjir masih berterusan apabila semester dibuka semula kelak. KPT akan terus memantau keadaan banjir kali ini dengan semua agensi yang berkaitan dan adalah dinasihatkan agar semua pelajar dan kakitangan IPT yang terkesan agar sentiasa berwaspada, menjaga keselamatan diri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
  1. Saya turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada semua sukarelawan dan agensi di bawah KPT khususnya atas komitmen padu dalam menghulurkan tenaga, bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban mangsa yang terkesan. Saya berharap semoga kerjasama pembangunan, pemulihan dan intervensi ini dapat terus disemai.
  1. Saya juga menyeru semua pihak di seluruh negara untuk bersama-sama mendoakan agar semua mangsa yang terkesan selamat dan dipermudah segala urusan mereka.

DATO’ SERI MOHAMAD KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

17 MAC 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media KPT Komited Membantu Operasi Pasca Banjir di Johor.pdf (83 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 7745
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.