logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KEPUTUSAN PENARAFAN IPT MALAYSIA 2018/2019


Penarafan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia bagi sesi 2018/2019 menunjukkan bahawa IPT telah melaksanakan penambahbaikan secara berterusan (continuous improvement) dalam menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan berimpak tinggi kepada pelajar.

Perkembangan ini juga memperlihatkan bahawa sektor pendidikan tinggi negara berada pada landasan yang betul dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dengan memberi penekanan terhadap kualiti akademik, kebertanggungjawaban dan prestasi setiap IPT di Malaysia.

Terdapat dua (2) instrumen yang digunakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam melaksanakan Penarafan IPT Malaysia tahun 2018/2019 iaitu Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) dan Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST).

Penarafan SETARA dinilai melalui 38 indikator yang merangkumi empat (4) fungsi teras utama iaitu umum, pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan dan perkhidmatan. Manakala, penarafan MyQUEST dinilai melalui 35 indikator yang merangkumi dimensi input, proses dan output yang memberi penekanan kepada lima (5) teras utama iaitu,

  1. kualiti dan kepelbagaian pelajar,
  2. kelestarian sumber dan kewangan,
  3. sistem pengurusan kualiti,
  4. pengiktirafan program dan
  5. pengiktirafan graduan dan reputasi institusi.

SETARA dan MyQUEST menggunakan sistem penarafan bintang daripada skala satu (1) bintang ke enam (6) bintang. Enam (6) bintang menunjukkan sesebuah IPT itu berada pada tahap cemerlang dan mempunyai daya saing di peringkat antarabangsa. Manakala satu (1) bintang menunjukkan IPT tersebut kurang berdaya saing dan tidak memenuhi kriteria minimum.

Jumlah keseluruhan IPT yang menyertai penarafan SETARA bagi sesi 2018/2019 adalah sebanyak 86 buah. Manakala 207 buah kolej swasta pula menyertai penarafan MyQUEST bagi tahun yang sama.

Penarafan SETARA

Bagi penarafan SETARA untuk tahun 2018/2019, lapan (8) buah IPT telah berjaya mencapai enam (6) bintang iaitu: Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), International Medical University (IMU) dan Monash University Malaysia.

Ini diikuti oleh 30 IPT yang mendapat penarafan lima (5) bintang, 30 IPT mencapai empat (4) bintang, 15 buah IPT mencapai tiga (3) bintang, dua (2) IPT dengan penarafan dua (2) bintang dan hanya sebuah IPT sahaja yang mendapat penarafan satu (1) bintang.

Penarafan MyQUEST

Bagi penarafan MyQUEST untuk tahun 2018/2019, sebanyak 14 buah kolej swasta telah berjaya mencapai penarafan enam (6) bintang iaitu Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Sunway (Kuala Lumpur), Institut Teknologi Maklumat Asia Pasifik (APIIT), Kolej SEGi Kota Damansara, Kolej Poly-Tech MARA Kuantan, Kolej SEGi Pulau Pinang, Kolej Antarabangsa Putra, Kolej Equator, Kolej Despark, Kolej SEGi Sarawak, Kolej IBS, Kolej Integrasi Perkembangan Kemahiran (IPK), Kolej Hafiz dan Institut Antarabangsa Sains Mantin.

Ini diikuti oleh 54 buah kolej yang mendapat penarafan lima (5) bintang, 88 buah mencapai empat (4) bintang, 40 buah kolej dengan tiga (3) bintang dan 11 buah kolej telah diberi penarafan dua (2) bintang. Keputusan penuh bagi Penarafan IPT Malaysia tahun 2018/2019 boleh dilayari melalui portal http://jpt.mohe.gov.my/portal/.

Kementerian akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan dan pemantapan ke atas  SETARA dan MyQUEST selaras dengan perubahan persekitaran dan ekosistem pendidikan tinggi negara. Penyesuaian tersebut akan mengambil kira pembudayaan norma baharu dalam sistem penyampaian pendidikan, penekanan kepada agenda pendigitalan, Teknologi Pendidikan berasaskan Revolusi Industri 4.0 dan kriteria lain yang relevan. Penarafan seterusnya dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2022.

DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
Menteri Pengajian Tinggi
18 Disember 2020

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 23869

Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.