logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KPT TUBUH JAWATANKUASA TINDAKAN SARA HIDUP SISWA KELUARGA MALAYSIA


Penubuhan Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah atas dasar keprihatinan Kementerian dalam menyokong dan memantapkan tadbir urus serta kecekapan penyaluran bantuan kebajikan kepada siswa di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Jawatankuasa Induk dipengerusikan sendiri oleh saya, sementara Jawatankuasa Pelaksana di peringkat institusi dipengerusikan oleh Naib Canselor/Rektor/Pengarah.

Dalam mesyuarat pertama pada 12 Julai 2022, yang turut dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi KPT, Naib-naib Canselor/wakil Univesiti Awam (UA), Pengerusi/wakil Persatuan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan Presiden/wakil Majlis Perunding Pelajar Kebangsaan (MPPK), keputusan berikut telah dipersetujui:

(1) Pengecualian Bayaran Sewaan Enam (6) Bulan Kepada Pengusaha Kafeteria dan Penyedia Perkhidmatan Makanan di Kampus IPT Awam
Pengecualian diberikan agar tanggungan kos boleh diserap bagi penurunan harga makanan yang dijual kepada pelajar.

(2) Inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia
Menu Keluarga Malaysia yang bernilai RM3.50 di bawah inisiatif Food Basket Siswa hendaklah bersesuaian dan mengambil kira kepelbagaian komposisi kaum di IPT. Bagi memantau kenaikan harga/kos barangan dan perkhidmatan yang melibatkan sara hidup siswa di IPT, Pasukan Pemantau KPT – Kos Sara Hidup Siswa (KPTPantau) akan melaksanakan pemantauan secara berterusan.

(3) Pemerkasaan Inisiatif Food Bank Siswa
Inisiatif ini diperkasakan menerusi penubuhan Hab Food Bank Siswa yang akan berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan barang keperluan siswa. Enam (6) hab akan ditubuhkan mengikut zon, iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur, Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak. Sebagai projek rintis, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersetuju untuk beroperasi sebagai hab bagi Zon Tengah.

(4) Penyelarasan Kadar Upah Program Job on Campus (JoC) di peringkat IPT
Kadar upah bagi Program JoC akan diteliti semula agar selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2022 oleh pihak Kerajaan. Pihak IPT turut disaran untuk meningkatkan jumlah penempatan JoC supaya lebih ramai pelajar, khususnya golongan berkeperluan dibantu dan memperoleh manfaat menerusi program tersebut.

(5) Pembangunan Pelan Tindakan Sara Hidup Siswa
Sebuah pelan tindakan yang holistik, sinergi dan mampan akan dibangunkan sebagai panduan kepada IPT dalam usaha memperkasakan kebajikan siswa. Selain daripada aspek kos makanan, pelan ini turut mengambil kira konteks sara hidup siswa yang lebih luas. Ini termasuklah aspek keperluan pengajaran dan pembelajaran (seperti pelan data dan peranti), penginapan, pengangkutan, dan yuran.

(6) Pemberian Rebat atau Pengecualian Cukai
KPT akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak Kementerian Kewangan bagi melihat kebolehlaksanaan pemberian rebat atau pengecualian cukai kepada para penyumbang yang menyalurkan tajaan dalam pelbagai bentuk. Antaranya termasuklah bantuan tunai, barangan atau perkhidmatan berkaitan keperluan siswa. Ini bagi menggalakkan kolaborasi bersama pihak korporat, industri dan juga orang perseorangan.

(7) Jadual Pergerakan Pengangkutan Yang Lebih Kerap
Kekerapan pergerakan pengangkutan di dalam dan luar kampus oleh pihak IPT ditambah.

Menjadi harapan saya agar semoga semua inisiatif yang berpaksikan hasrat memperkasakan kebajikan pelajar di IPT ini akan mendapat sokongan serta kerjasama penuh semua pihak termasuk warga IPT, pelajar dan agensi luar bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya.

DR. NORAINI AHMAD
Menteri Pengajian Tinggi

14 Julai 2022

Muat Turun:

pdf KPT Tubuh Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia (390 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 16062
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.