UKM mahu muncul sebagai universiti watan bersifat menyeluruh

2023 01 27 liputan media

Sumber : Kosmo

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengalu-alukan hasrat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk muncul sebagai sebuah universiti watan bersifat komprehensif.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penting untuk UKM mempunyai matlamat, visi dan misi yang jelas, khususnya dalam meletakkan kedudukan watan di tempat yang lebih tinggi.

“UKM harus strategik dan proaktif dalam mengambil bahagian penting dan menjuarai pelbagai perkara dan isu yang melibatkan pemerkasaan negara bangsa dan pembentukan tamadun madani, sejajar dengan bidang tujahannya yang bersifat kebangsaan.

“Disamping itu, UKM mempunyai peranan besar untuk memberikan pandangan berasaskan ilmu dan rasional dan seterusnya membantu menjayakan konsep Malaysia Madani. Kejayaan UKM akan menyumbang kepada kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang bertamadun.

“Bagi pihak KPT saya turut merakamkan keterbukaan kementerian untuk menerima sebarang idea dan cara baharu dalam soal mengurus dan memperkasa institusi pendidikan tinggi, khususnya yang menekankan aspek perkongsian sumber, kerjasama penyelidikan dalam bidang yang menguntungkan negara serta dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengurangkan kos atau bebanan kewangan pelajar di universiti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Mohamed Khaled mengadakan lawatan kerja ke UKM dan ia merupakan lawatan kerja keduanya ke Universiti Awam selepas merasmikan Karnival Penyelidikan Universiti Malaya 2022 awal tahun ini.

Lawatan kerja ini dimulakan dengan meninjau pameran pencapaian dan keberhasilan alumni serta hasil penyelidikan warga UKM di Bangunan Canselori. Pelbagai kerjasama dan hasil penyelidikan bersama-sama dengan pihak industri ditonjolkan.

Seterusnya, Mohamad Khaled turut melancarkan buku “Einstein di Malaya” terbitan Penerbit UKM dan Perkhidmatan Solar UKM.

Sepanjang lawatan, taklimat diberikan oleh Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman, berkaitan status semasa, perancangan serta hala tuju pada masa akan datang.

Turut hadir bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, Datuk Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak, dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi serta pengurusan kanan UKM Datuk Prof. Dr. Husaini Omar. – KOSMO! ONLINE

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 10151
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 29 Mac 2024, 08:50:00.