YB. Menteri Pengajian Tinggi mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Pahang bagi membincangkan kerjasama strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerajaan negeri

YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada YAB Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.

Lawatan ini bertujuan membincangkan kerjasama strategik Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerajaan negeri melalui inisiatif PENJANA KPT-CAP@STATE.

Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa serta graduan dalam meningkatkan kemahiran dan mendapat penempatan pekerjaan atau pembiayaan kewangan perniagaan setelah tamat pengajian.

Dibawah inisiatif PENJANA KPT-CAP@STATE ini terdapat dua program iaitu:

  1. JOBs@State
    Program ini mencadangkan penglibatan sebanyak 300 tawaran pekerjaan bagi setiap negeri di mana-mana syarikat bawah kerajaan negeri. Program dijangka akan memberi faedah kepada 300 graduan. Gaji adalah mengikut tahap kelayakan pendidikan iaitu minimum RM1,700 untuk graduan diploma dan RM2,300 untuk graduan Ijazah Sarjana Muda. Tempoh minimum kontrak adalah selama 12 bulan.
  2. GRADpreneur@State
    Program ini merupakan program keusahawanan dengan penyaluran dana yang akan dibuat oleh kerajaan negeri dalam usaha untuk membantu graduan memulakan dan mengembangkan perniagaan. Program ini akan dibuka sebanyak 200 tempat di setiap negeri dan dijangka akan memberi faedah kepada 200 graduan dengan melibatkan pembiayaan pinjaman sebanyak RM1Juta.

Turut hadir Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Rosli Yaakub, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Prof. Dato' Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran, Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia dan Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 8640

Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.