YBM Menyempurnakan Penutup dan Penyampaian Hadiah Varsity Challenge 2022 (VCC2022)

YBM Menyempurnakan Penutup dan Penyampaian Hadiah Varsity Challenge 2022 (VCC2022)

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan Varsity Cycling Challenge 2022 (VCC 2022) di Dewan Sri Medan, Parit Sulong tengah hari tadi.

Seramai 470 orang peserta yang terdiri daripada warga IPT dan serta para pelumba dari seluruh negara telah menyertai perlumbaan yang melibatkan jarak sejauh 75.8 kilometer merentasi kawasan sekitar Sri Medan dan Parit Sulong.

Perlumbaan yang telah memasuki edisi keenam ini menyaksikan 8 kategori lebuhraya individu dan 3 kategori berpasukan telah dipertandingkan yang turut merekodkan penyertaan paling ramai wanita iaitu seramai 70 orang.

Untuk pelajar IPT berpasukan, kategori lelaki telah dimenangi oleh UTM manakala UTeM pula telah memenangi kategori wanita.

Bagi kategori individu pula, pelajar dari UPNM, Mohammad Afi Danial Ramli dinobatkan juara dengan catatan masa 1:41:47 (75.8 KM), dan bagi pelajar wanita, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad dari UiTM telah memenangi dengan masa 57:46 (37.9 KM).

Bagi staf IPT, pasukan UIAM telah memenangi kategori berpasukan manakala staf dari UTHM iaitu saudara Mohd Raminhizad Abd Razman telah menjuarai kategori individu dengan catatan masa 1:41:49.

Turut dipertandingkan ialah kategori VIP yang telah dimenangi oleh saudara Mohd Hafiz Jalalluddin Abd Manap dari KPT.

VCC 2022 ini diharap bakal menjadi pemangkin untuk mencapai matlamat melahirkan "The Thinking Athletes" serta sasaran melahirkan 30% atlet kebangsaan dari warga IPT sebagaimana yang telah digariskan oleh Dasar Pembangunan Sukan IPT.

Dalam majlis yang sama, YB Menteri telah turut merasmikan Le Tour De IPT 2023 iaitu sebuah kejohanan sukan berbasikal berprestasi tinggi sebagaimana Le Tour De Langkawi atau Jelajah Malaysia yang bakal membawa para peserta merentasi seluruh negara.

Hadir sama Dr. Mohd Zabri Yusoff, TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin, Naib Canselor UTeM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Naib Canselor UTHM, dan Dr. Pekan Ramli, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, KPT.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 9680
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 24 April 2024, 16:08:46.