logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO’ HAJI MOHAMMAD YUSOF BIN APDAL
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi

PROGRAM TAKLIMAT DAN PAMERAN PUBLIC-PRIVATE RESEARCH NETWORK 2.0

22 FEBRUARI 2023


Bismillahirahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & Salam Sejahtera

1. Pertama sekali, saya ingin menzahirkan kesyukuran ke Hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya kita dapat berhimpun pada hari ini sempena Program Taklimat dan Pameran Public-Private Research Network 2.0 (PPRN 2.0). 

2. Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Seksyen Penyelidikan dan PPRN, Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), para penyelidik serta wakil-wakil industri di atas sokongan padu dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini. 

Hadirin yang dihormati sekalian,

3. Baru-baru ini, negara dilaporkan telah mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.7%, ekonomi negara memperlihatkan pemulihan dari segi perbelanjaan dan pelaburan swasta, pengukuhan mata wang Ringgit, dan penurunan kadar pengangguran iaitu pada kadar 3.6% di Suku Keempat 2022 berbanding 3.7% di Suku Ketiga 2022. Malaysia, walau bagaimanapun, tidak boleh cepat leka. 

4. Pada minggu lepas, Kementerian Kewangan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia perlahan, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangkakan menurun daripada 3.4%  pada tahun lepas kepada 2.9 pada tahun ini. Namun begitu, negara lain di ASEAN seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam dilaporkan bakal mencapai peningkatan ekonomi yang jauh lebih baik daripada Malaysia. Ini menunjukkan tidak mustahil bagi sesebuah negara itu untuk menongkah arus dan menggunakan kelebihan diri dalam mencari peluang untuk meningkatkan ekonomi, walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran kemelut ekonomi dunia.

Hadirin yang dihormati sekalian,

5. Selari dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk memastikan negara mengamalkan dasar rukun MADANI iaitu keMampanan, kesejaAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan, saya berpandangan, di sinilah peranan besar  yang boleh dimainkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan Pusat Penyelidikan Awam (Public Research Institutes- PRI). 

6. Bagi membangunkan negara MADANI, “Daya cipta atau inovasi” diberi penekanan. Visi Malaysia yang dihasratkan melalui konsep negara MADANI meliputi pembudayaan daya cipta dalam kalangan masyarakat, dan menjadi penyumbang kepada revolusi digital dan teknologi yang berupaya untuk merubah dunia. Ini selaras dengan agenda Research, Development, Commercialisation and Innovation (RDCI) di Malaysia yang disasarkan boleh meningkatkan sumbangan kepada kelestarian komuniti dan negara iaitu strategi  keempat KPT bagi Key Performance Indicator (KPI) MADANI.

7. Untuk makluman, KPT merupakan penerima peruntukan yang terbesar untuk aktiviti RDCI. KPT menyediakan pelbagai dana RDCI seperti:

i. Dana Penyelidikan Fundamental yang meliputi:

a. Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS);
b. Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS);
c. Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS); dan
d. Skim Geran Penyelidikan Transdisiplinari (TRGS).

ii. Public-Private Research Network (PPRN); dan

iii. Dana Padanan Penyelidikan Antarabangsa (MyPAiR);

8. Melalui aktiviti RDCI berimpak tinggi yang dijalankan, IPT dan PRI berupaya untuk membina kepakaran dalam bidang tertentu dan membantu industri untuk berkembang serta meningkatkan kualiti rantaian nilai. Hasil daripada kerjasama dalam RDCI ini tentunya boleh memberi sumbangan yang besar kepada negara. Justeru, KPT akan memastikan agar aktiviti penyelidikan haruslah:

i. Selaras dengan bidang keutamaan Sains, Teknologi dan Inovasi negara seperti mana yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas dan kerangka 10x10 MySTIE;

ii. Menjadikan hasil penyelidikan dan pembangunan serta harta intelek sebagai produk yang mempunyai nilai tambah yang tinggi;

iii. Bersifat multidisciplinary, interdisciplinary, transdisplinary dan jangka panjang;

iv. Menjana pendapatan untuk IPT dan institusi penyelidikan awam melalui pembangunan pelan pengkomersialan yang holistik; dan

v. untuk inisiatif RDCI seperti PPRN, kerjasama antara akademia dan industri yang boleh membantu meningkatkan produktiviti syarikat dan seterusnya, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Hadirin yang dihormati sekalian,

9. Dalam Perutusan Tahun Baharu 2023 baru-baru ini, Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi telah berazam untuk memberi tumpuan dan keutamaan kepada TIGA perkara utama: 1) Pendigitalan, 2) Penyelenggaraan dan Menaik taraf, serta 3) Penyelidikan. Sebagai salah satu bentuk RDCI, PPRN sangat dekat dengan rakyat. PPRN memberi manfaat kepada, bukan sahaja, IPT dan penyelidik yang terlibat dalam projek PPRN, bahkan juga kepada syarikat yang bekerjasama dalam projek tersebut.

10. Sudah tiba masanya IPT berkongsi pengetahuan dan kepakaran dengan pihak luar terutama industri dan masyarakat agar manfaat daripada pemindahan pengetahuan dan teknologi ini dapat dirasai dan diterjemahkan dalam bentuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih mampan, dan peningkatan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat secara amnya. 

11. Saya percaya, usaha KPT dalam mengetengahkan model kerjasama strategik antara pihak industri dan akademia melalui program inovasi yang berpacukan permintaan (demand driven) seperti PPRN ini perlu disambut baik oleh industri dan masyarakat serta diberi sokongan padu oleh semua pihak.

12. Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), PPRN merupakan salah satu inisiatif di bawah lonjakan ke 7- Ekosistem Inovasi yang bermatlamat untuk membangunkan  ekosistem inovasi dalam bidang strategik dan kritikal. Justeru, PPRN berupaya untuk secara langsung menyuntik kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui pemerkasaan peranan IPT dan PRI sebagai penyelesaian masalah kepada pihak yang berkepentingan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

13. Sehingga akhir tahun 2022, berdasarkan rekod, sejumlah 680 projek melibatkan 634 syarikat telah berjaya diluluskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 27,797,149.25 juta (RM27.7 juta). Sebanyak 469 projek telah berjaya mendapat status Tamat Dengan Jayanya. Hasil dapatan Kajian Impak Pelaksanaan PPRN yang dijalankan oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) pada tahun  2019 menunjukkan, secara purata, projek PPRN telah berjaya meningkatkan produktiviti syarikat sebanyak 30%.

14. Ini merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan dan sekiranya dilaksanakan dalam skala yang besar, boleh membantu lebih ramai pemain industri untuk beralih kepada teknologi terkini dan selesa dengan Revolusi Perindustrian Keempat.  Saya difahamkan pada tahun 2023, KPT telah menerima sebanyak 44 permohonan untuk melaksanakan projek PPRN.

15. Tahniah saya ucapkan kepada penyelidik dan syarikat yang telah berjaya mencapai kata sepakat dan bersama-sama memohon dana PPRN. Saya harap, semua pemohon berjaya mendapat kelulusan pelaksanaan projek, dan seterusnya boleh menikmati manfaatnya apabila projek telah siap dengan jayanya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

16. Saya difahamkan UPM berada di puncak kegemilangannya pada Jun tahun lalu kerana telah dinobatkan sebagai universiti ke-2 terbaik di Malaysia dan telah tersenarai pada kedudukan ke-123 universiti terbaik dunia dalam penarafan QS World University Rankings 2023.  

17. Kejayaan UPM tidak harus dipertikaikan. Saya pasti kejayaan yang ditempa oleh UPM adalah hasil komitmen dan usaha berterusan warga UPM.  Bak kata pepatah yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Saya turut bangga dengan pencapaian UPM, dan saya harap penyelidik di UPM akan terus komited dalam menjalankan 11 kluster penyelidikan khususnya dalam bidang tujahan yang  menjadi kekuatan UPM sendiri seperti perhutanan dan biodiversiti, pertanian dan makanan, sains gunaan dan kejuruteraan serta lain-lain lagi.

18. Mutakhir ini, isu sekuriti makanan telah menjadi agenda penting negara. Isu bekalan makanan ini timbul susulan beberapa krisis yang tidak menentu seperti bencana alam dan perubahan iklim, turun naik harga, konflik atau wabak yang melanda di seluruh dunia. Kedudukan Malaysia dalam ranking Indeks Sekuriti Makanan Global pada tahun 2022 adalah di tangga 41 daripada 113 buah negara. Indikator ini merujuk kepada aspek mampu beli, ketersediaan, kualiti dan keselamatan serta sumber asli dan kemampanan.

19. Sektor makanan di negara ini menghadapi cabaran besar yang mungkin akan berterusan selama beberapa dekad yang akan datang sekiranya tidak ditangani dengan berkesan. Ini termasuklah menyediakan makanan yang mencukupi untuk memenuhi pertumbuhan penduduk, persaingan sumber tanah untuk pembangunan industri, peningkatan pendapatan per kapita, perubahan diet, perbandaran dan kemampuan B40 untuk membeli makanan.

20. Semua pihak harus meningkatkan kesiapsiagaan secara proaktif dan berusaha bersama-sama dalam menghadapi cabaran ini. Solusi kepada isu sekuriti makanan negara boleh ditangani dengan pelaksanaan RDCI yang mantap. UPM sebagai peneraju  pendidikan tinggi dalam bidang pertanian boleh bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan industri pertanian serta pembuatan, agar impak daripada pemindahan pengetahuan dan teknologi kepada rakyat dapat dirasai dan memberi kesan jangka panjang kepada peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat. 

21. Usaha seperti ini adalah selari dengan Rancangan Malaysia ke-12 dan the United Nations Sustainable Development Goals (UN SDGs). Saya harap IPT boleh berikan perhatian yang serius, dan mengambil tindakan segera dengan memainkan peranan yang lebih menyerlah bukan sahaja di peringkat tempatan, bahkan juga di persada antarabangsa. 

22. Dengan kekuatan bidang tujahan masing-masing, saya percaya, IPT dan PRI boleh memberi impak yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui pelaksanaan RDCI yang mantap.

23. Sebelum saya menutup ucapan saya, tahniah saya ucapkan sekali lagi kepada seluruh Ahli Jawatankuasa UPM dan KPT serta pempamer yang telah bertungkus lumus menjayakan program pada hari ini. Program seumpama ini wajar diteruskan di masa akan datang dan saya amat berharap ianya boleh dilaksanakan pada skala yang lebih besar dengan keterlibatan lebih ramai akademia, pakar-pakar dari industri, agensi-agensi kerajaan dan swasta.

24. Saya juga dimaklumkan bahawa sebuah Majalah Pengembangan yang diberikan nafas baharu oleh Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan (PPPL), Universiti Pertanian Malaysia (UPM) akan turut dilancarkan pada hari ini.

25. Akhir kalam, dengan lafaz BismillahirRahmanirRahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Taklimat dan Pameran Public-Private Research Network 2.0 (PPRN 2.0) Zon Tengah dan seterusnya melancarkan Majalah Pengembangan UPM.

Wabillahitaufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

sekian, terima kasih.

Muat Turun:

pdf YBTM - Program Taklimat Dan Pameran Public-Private Research Network 2.0 .pdf (85 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 8241
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 29 Mac 2024, 08:50:00.