Majlis Perasmian Program Sukarelawan Malaysia Volunteer Vaccine Mobilization (MyVac)

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi hari ini telah menghadiri Majlis Perasmian Program Sukarelawan Malaysia Volunteer Vaccine Mobilization (MyVac).

MyVac merupakan satu inisiatif kesukarelawanan bukan kesihatan.

Sukarelawan bukan kesihatan diperlukan bagi menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Sukarelawan akan bertanggungjawab dalam tugas-tugas bukan kesihatan seperti persiapan tempat (logistik), pendaftaran penerima vaksin, saringan suhu, dan lain-lain gerak kerja sukarelawan yang bersesuaian.

Pelaksanaan program MyVac akan bermula pada 1 April 2021 bagi pelaksanaan Fasa 2 dan Fasa 3 PICK.

Seramai 1,946 orang sukarelawan bukan kesihatan yang terdiri daripada Alumni pelajar daripada Universiti Awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Poliktenik, Kolej Komuniti dan Yayasan Sukarelawan Siswa dijangka akan menyertai program MyVac.

MyVac diterajui oleh Kementerian Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Belia & Sukan (KBS), Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah Brigadier Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Alhmarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Penaung Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Seri Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 8681
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.