KPT - e-Buku Garis Panduan Program KPT-MEDAC Siswapreneur

e-Buku Garis Panduan Program KPT-MEDAC Siswapreneur

Tujuan

Garis panduan ini bertujuan untuk memaklum dan memperincikan kaedah pelaksanaan Program KPT-MEDAC Siswapreneur. Program ini merupakan program mikro kredit yang ditawarkan kepada usahawan pelajar daripada Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Latar Belakang

Kerajaan telah memperkenalkan Dasar Keusahawanan Negara 2030 yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah “Entrepreneurial Nation” menjelang 2030. Bagi membantu merealisasikan hasrat tersebut, ekosistem keusahawanan yang kondusif dan lestari perlu diwujudkan di setiap Institusi Pendidikan Tinggi.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Pelan Pembangunan Pengajian Malaysia 2015 - 2025 (Pengajian Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 telah menggariskan 10 lonjakan utama dalam usaha mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang terbaik bagi membolehkan Malaysia bersaing di peringkat global. Lonjakan 1: PPPM(PT) 2015-2025 secara khusus menekankan kepada pembentukan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang dengan cara memperkukuh pemikiran atau kecenderungan mereka untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Dalam menyokong hasrat tersebut, KPT juga telah menghasilkan Pelan Tindakan Keusahawanan, Institusi Pendidikan Tinggi (PTK IPT) 2016-2020 yang menggariskan empat inisiatif utama. Satu daripada inisiatif tersebut ialah pelaksanaan Rangka Kerja Penjana Pekerjaan atau Job Creator Framework dengan sasaran meningkatkan peratusan graduan yang memilih keusahawanan sebagai kerjaya.

Di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pula, aktiviti keusahawanan diselia oleh Pusat Keusahawanan di institusi masing-masing. Hasil penelitian Pusat-pusat Keusahawanan mendapati, pelajar atau graduan sukar untuk menceburi atau memulakan perniagaan mereka akibat kekurangan modal permulaan. Hasil inovasi produk atau perkhidmatan yang dibangunkan pelajar tidak dapat dikomersialkan akibat kekurangan dana untuk memula atau mengembangkan perniagaan.

Justeru, bagi memberikan pendedahan dan memastikan kelestarian perniagaan dalam kalangan pelajar sewaktu pengajian, KPT dengan kerjasama TEKUN Nasional berhasrat untuk melaksanakan Program KPT-MEDAC Siswapreneur kepada pelajar yang berhasrat memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka semasa dalam pengajian. Pembiayaan melalui skim mikro kredit ini merupakan salah satu bentuk kemudahan dan galakan berbentuk pinjaman kewangan yang diberikan kepada pelajar IPT yang berkelayakan.

Program ini akan menjadi pemangkin untuk membangunkan usahawan dalam kalangan pelajar seterusnya menyokong kepada hasrat untuk menghasilkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang; dan menjadikan Malaysia sebuah “Entrepreneurial Nation” menjelang 2030.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3440
Logo KPT
Portal Rasmi Kementerian Pengajian Tinggi © Hak Cipta Terpelihara
Kemaskini terakhir: Khamis 02 Disember 2021, 16:27:01.