logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

TUJUH NEGARA SETUJU JALIN KERJASAMA LEBARKAN PROGRAM PENGANTARABANGSAAN PENDIDIKAN TINGGI

Saya telah menghadiri Antalya Diplomacy Forum (ADF) 2024 di Antalya, Turkiye sebagai mewakili Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dalam program yang dihadiri lebih 4,000 delegasi dari 100 buah negara ini, Malaysia diberi penghormatan untuk menjadi panelis bagi sesi yang bertajuk ‘Building Asia – Pacific Regional Architectures: The Challenge of Unmatching Interest’.

Dalam sesi ini, saya telah menyampaikan pandangan Malaysia dan YAB Perdana Menteri berkenaan isu Asia Pasifik yang semakin menjadi perhatian kuasa-kuasa besar dunia. Saya menegaskan bahawa Malaysia mahukan sebuah rantau yang bebas daripada sebarang kongkongan mana-mana pihak serta mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan semua pihak demi tujuan menjaga kestabilan rantau.

Di sepanjang ADF kali ini, saya juga berkesempatan mengadakan lapan mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan lama Menteri Luar. Antaranya ialah Timbalan Perdana Menteri II Kosovo merangkap Menteri Luar; Menteri Luar Uzbekistan; Timbalan Perdana Menteri Iraq merangkap Menteri Luar; Menteri Luar Kyrgyzstan; Menteri Luar Sri Lanka; Presiden Majlis Tertinggi Negara Libya; Presiden Turkish Maarif Foundation dan Menteri Luar Turkiye. Pelbagai perkara dibincangkan termasuklah pendidikan tinggi negara. Persetujuan dicapai dengan semua negara ini bagi kita melebarkan program pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dari segi pertukaran pelajar, pensyarah, penyelidikan dan juga bidang-bidang tumpuan yang boleh dipelopori bersama. Negara seperti Iraq dan Libya juga sedia untuk menawarkan biasiswa lebih besar untuk pelajar-pelajar mereka datang ke Malaysia.

Ketika di Istanbul, saya menyaksikan majlis tandatangan dan pertukaran persefahaman (MoU) di antara Universiti Utara Malaysia dengan lima buah universiti di Turkiye iaitu Karabuk University, Ankara Yıldırım Beyazıt University, Dicle University, Gebze Technical University dan Mardin Artuklu University. Usahasama ini sangat baik terutamanya dalam kita membina rangkaian pendidikan dengan institusi antarabangsa dan pada masa sama proses perkongsian dan pemindahan ilmu serta kemahiran dapat berlangsung melalui pelbagai medium.

DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

04 MAC 2024

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media - Tujuh Negara Setuju Jalin Kerjasama Lebarkan Program Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi (61 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3842
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 15:09:51.