logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

Penangguhan Pendaftaran Secara Fizikal/Bersemuka Pelajar IPT Kemasukan Oktober 2020


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amat prihatin dengan pandangan pelbagai pihak serta kebimbangan yang disuarakan oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat dengan peningkatan kes COVID-19 yang berlaku hanya selang beberapa hari sahaja dari tarikh kemasukan pelajar baharu ke universiti.

KPT turut prihatin mengenai kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar-pelajar, staf universiti dan semua pihak yang terlibat.

Justeru, KPT mencadangkan kepada semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk menangguhkan dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka pelajar-pelajar baharu dan lama ke kampus. Semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat.

Keputusan menangguhkan pendaftaran secara fizikal/ bersemuka pelajar-pelajar yang terlibat perlu dibuat demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak.

Bagi pelajar yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing. Pihak IPT diminta membantu segala keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar ini.

Sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan balik ke kampus serta sesi pengajaran dan pembelajaran boleh dirujuk terus kepada IPT masing-masing.

KPT juga mencadangkan kepada semua IPT supaya menangguhkan semua program atau aktiviti yang melibatkan himpunan di dalam kampus.

KPT juga telah mengambil langkah proaktif berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi memohon mempertimbangkan penjadualan semula penerbangan pelajar-pelajar pulang ke kampus khususnya bagi mereka yang telah membeli tiket penerbangan pulang ke IPT masing-masing. Hasil rundingan tersebut, syarikat-syarikat penerbangan telah bersetuju untuk menjadualkan semula penerbangan pelajar sehingga
31 Disember 2020.

Keprihatinan dan kepekaan daripada semua pihak dalam menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan pelajar dan masyarakat amat diperlukan dalam menghadapi situasi semasa berkaitan pandemik COVID-19 ini.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
2 Oktober 2020

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 20495
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 18:19:27.