Hebahan

Maklumat hebahan terkini kementerian
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PENGENDALIAN PROGRAM AKADEMIK PENDIDIKAN TINGGI SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengucapkan takziah kepada keluarga Nurul Natasya Ezreen Bt Azemi, 22, pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Kedah dan Muhammad Adham Hazim bin Mohd Rizaini, 21, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pahang yang meninggal dunia baru-baru ini.

KPT prihatin dengan kekangan dan kesukaran yang dihadapi oleh pelajar dan tenaga pengajar dalam melaksanakan Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) sepanjang tempoh pandemik yang mencabar ini. KPT menyarankan kepada pihak IPT agar dapat menjadikan nota yang dikeluarkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 8 Februari 2021 sebagai panduan pengendalian program pendidikan tinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berdasarkan Nota Panduan (Advisory Note) yang telah dikeluarkan, Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) diberikan fleksibiliti untuk mengendalikan aktiviti PdP secara dalam talian dan PPT perlu menyediakan pelan tindakan mengikut kesesuaian keperluan pengajaran dengan mengambil kira keadaan semasa. Pelbagai kaedah pembelajaran dalam talian telah diperkenalkan dan boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian kursus-kursus yang ditawarkan.

Bagi kursus atau komponen pembelajaran yang memerlukan pelaksanaan secara bersemuka dan tidak dapat diganti melalui kaedah pembelajaran dalam talian, boleh dianjakkan ke minggu pembelajaran atau semester akan datang atau setelah PPT merangka kaedah pembelajaran dalam talian yang bersesuaian. Pihak PPT juga boleh mengadakan inisiatif untuk melaksanakan program berdasarkan jadual anjal termasuk melanjutkan aktiviti-aktiviti pentaksiran dan penilaian secara berterusan.

KPT sentiasa mengambil berat dan memandang serius terhadap pelaksanaan PdP secara dalam talian. Bagi menambah baik proses pembelajaran ini, satu kajian terhadap keberkesanan PdP dalam talian dan penambahbaikan sedang dilaksanakan.

Bagi pelajar yang menghadapi sebarang masalah, pihak IPT telah menyediakan pelbagai kemudahan perkhidmatan kaunseling kepada mahasiswa yang melibatkan lebih 150 orang kaunselor dan pakar psikologi. Perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial disediakan menerusi talian hotline dan secara atas talian mengambil kira faktor kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa. IPT juga menyediakan program-program berkaitan kesihatan mental dan perkhidmatan kaunseling seperti Tele-Kaunseling; Program pengurusan Stres dan Emosi semasa PKP; Pengurusan Kesihatan Mental Diri dan sebagainya. Pelajar juga boleh menghubungi Bilik Gerakan KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777 / 6949 / 6623 / 6628, bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan kaunseling yang disediakan oleh IPT.

Selain itu, KPT dengan kerjasama Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) turut dalam proses membangun satu modul Kesihatan Mental Pelajar IPT bagi menangani tekanan, kemurungan dan kebimbangan. KPT berharap dengan adanya modul ini nanti, ianya boleh digunakan sebagai garis panduan kepada pegawai di IPT bagi menangani kes kesihatan mental di universiti yang melibatkan mahasiswa.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
13 JULAI 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pengendalian Program Akademik Pendidikan Tinggi Semasa PKP (34 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 464
Portal Rasmi Kementerian Pengajian Tinggi © Hak Cipta Terpelihara
Kemaskini terakhir: Jumaat 23 Julai 2021, 15:37:21.