logo kpt black

SIARAN MEDIA

ATLET IPT SUMBANG SEPARUH PINGAT KONTINJEN NEGARA DI SUKAN ASIA HANGZHOU 2022


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengucapkan tahniah dan syabas kepada kontinjen Malaysia kerana berjaya menamatkan saingan di Sukan Asia Hangzhou 2022 di kedudukan ke-14.

Kontinjen Malaysia yang dibarisi seramai 289 atlet berjaya merangkul 32 pingat merangkumi enam (6) emas, lapan (8) perak dan (18) gangsa sekaligus mengatasi sasaran 27 pingat yang disasarkan sebelum ini.

Sebanyak 13 jenis sukan menyumbang kepada keseluruhan 32 pingat iaitu terjun, badminton, berbasikal trek, e-sukan, ekuestrian, gimnastik artistik, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy dan wushu.

Dalam pada itu, seramai 93 atlet daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menyertai kontinjen negara pada edisi kali ini. Selepas temasya menutup tirai pada Ahad lalu, atlet IPT terus relevan menyumbang separuh daripada pingat untuk kontinjen negara dengan 17 pingat (53.13 peratus) melalui pungutan pingat; tiga pingat emas (3), lima (5) perak dan sembilan (9) gangsa. Maklumat pungutan pingat, jenis sukan, acara, atlet dan IPT adalah seperti di LAMPIRAN A.

Kejayaan yang diraih ini pastinya dengan galakan dan usaha berterusan daripada KPT bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Pusat- pusat Sukan IPT. Ia juga melalui kerjasama erat bersama Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan dalam usaha meningkatkan prestasi atlet dan sukan negara.

KPT akan terus komited untuk membangunkan bakat pelajar dan menjadi pemangkin pencapaian cemerlang atlet negara ke peringkat tertinggi.

Kementerian Pendidikan Tinggi
9 Oktober 2023

Muat Turun:

pdf Siaran Media Atlet IPT Sumbang Separuh Pingat Kontinjen Negara Di Sukan Asia Hangzhou 2022.pdf (132 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 4756
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.