logo kpt black

SIARAN MEDIA

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP MINGGU TVET DIGITAL POLYCC 2023


SHAH ALAM, 11 SEPTEMBER - Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah merasmikan Majlis Penutup Minggu TVET DIGITAL POLYCC di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini, pada hari ini.

TVET DIGITAL merupakan inisiatif oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital (BIPD) sebagai suatu usaha bagi memantapkan lagi pendigitalan pendidikan dan teknologi baharu dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di politeknik dan kolej komuniti (POLYCC).

Terdahulu, Majlis Pelancaran TVET DIGITAL telah dilancarkan di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, Perak pada 11 Ogos 2023 oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar bagi memperkenalkan kerangka TVET DIGITAL yang menjelaskan tentang aspirasi dan hala tuju berkenaan pendigitalan pendidikan khususnya di politeknik dan kolej komuniti.

Dalam memastikan kesinambungan pada usaha tersebut, JPPKK menganjurkan Pertandingan CIDOS Inspiring Learning Awards (eDOLA) bagi membudayakan aktiviti pendigitalan di dalam pendidikan di politeknik dan kolej komuniti. Selain itu, penganjuran eDOLA bertujuan untuk mengenalpasti serta menambahbaik pengetahuan serta kepakaran di dalam pendidikan digital warga pensyarah, pelajar mahupun kakitangan sokongan di politeknik dan kolej komuniti dengan menghasilkan pelbagai jenis video berkaitan PdP.

Majlis penganugerahan pertandingan kepada pemenang telah diadakan pada 6-7 September 2023 di PSA. Sebanyak 112 institusi terlibat dalam pertandingan eDOLA kali ini. Majlis Pertandingan Inovasi Pembelajaran Digital eDOLA kali ini turut menampilkan kelainannya yang tersendiri apabila turut diadakan “Pameran Pengalaman Imersif” menerusi dua (2) jenis pameran iaitu ‘EduTech Exhibition’ dan ‘Immersive Park’ yang berlangsung pada 6 dan 7 September 2023 di Dewan Al-Jazari, PSAS.

Pameran Immersive Park memaparkan teknologi imersif iaitu virtual reality meta dan teknologi cloud. Melalui inisiatif pendigitalan yang telah diamalkan oleh POLYCC ini secara tidak langsung membuktikan ketersediaan POLYCC dalam mendepani teknologi baharu yang lain di masa akan datang. EduTech Exhibition pula memaparkan kolaborasi strategik industri yang mempunyai kepakaran di dalam teknologi pendidikan seperti virtual reality, augmented reality, mix reality dan teknologi cloud. Sebanyak 10 pempamer yang terdiri daripada politeknik dan kolej komuniti serta pihak industri bersama pada pameran ini.

YB Menteri pada hari ini turut melancarkan Imersif Digital Library POLYCC yang mengandungi Metaverse, EduTV platform dan repositori ShouT!TVET serta Digital Repository Library (DRL). DRL adalah platform di mana warga POLYCC akan mempunyai akses kepada kandungan imersif PdP dan disimpan ke dalam peranti elektronik masing-masing.

YB Menteri pada majlis ini turut menyampaikan anugerah kepada enam (6) kategori iaitu:

  1. Anugerah Khas TVET DIGITAL JPPKK Kategori 4IR Flagships @ POLYCC
  2. Anugerah Khas TVET DIGITAL JPPKK Kategori Inovasi PDP Digital
  3. Anugerah Khas TVET DIGITAL JPPKK Kategori Penyiaran Digital
  4. Anugerah Khas TVET DIGITAL JPPKK Kategori Industry VIP (Valued Industry Partner)
  5. Anugerah Khas TVET DIGITAL JPPKK Kategori Pusat Keusahawanan Digital Maker Market
  6. Anugerah Khas TVET DIGITAL JPPKK Kategori Anugerah Pembelajaran Transformatif

Hadir sama pada majlis penutup ini ialah Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail.

JABATAN PENDIDIKAN POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
11 SEPTEMBER 2023

Muat Turun:

pdf Siaran Media Majlis Perasmian Penutup Minggu TVET Digital POLYCC 2023.pdf (118 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 11544
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.