Malaysia, Qatar kaji ternak udang guna sistem akuaponik

2022 06 07 keratan akhbar 01

Sumber: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Qatar hari ini bersetuju menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan akuakultur membabitkan ternakan spesies udang galah dan laut menggunakan sistem akuaponik serta kitaran semula air di kawasan padang pasir.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, berkata penyelidikan akan dijalankan secara bersama oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Qatar (UQ).

"Industri akuakultur di Qatar membangun pesat dan kerjasama penyelidikan ini diharap dapat membantu meningkatkan pengeluaran makanan serta keselamatan makanan berasaskan sumber akuatik.

"Sumber akuatik itu terutama dari spesies krustasia seperti udang galah dan udang laut di Qatar," katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hari ini.

Terdahulu, Noraini yang berada di Qatar atas lawatan kerja, menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMT dan UQ.

MoU terbabit ditandatangani Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar dan Naib Presiden (Penyelidikan dan Pengajian Pasca Siswazah) UQ, Prof Mariam Al-Ali Al-Maaded.

Melalui MoU itu, Noraini berkata, UMT memperluaskan jaringan kerjasama penyelidikan bersama UQ menerusi tiga projek di bawah Tabung Penyelidikan Nasional Qatar (QNRF) dan Dana Kerjasama Penyelidikan Antarabangsa (IRCC) bernilai RM5.7 Juta.

"Selari penarafan Insititut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) UMT oleh KPT sebagai Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (HICoE) dalam bidang Makanan Masa Hadapan, kerjasama penyelidikan diketuai AKUATROP UMT ini bakal memfokuskan kepada projek penyelidikan akuakultur pertama di Qatar.

"Ia membabitkan ternakan akuakultur bagi spesies udang galah dan udang laut menggunakan sistem akuaponik dan sistem kitaran semula air di kawasan padang pasir," katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, penyelidikan dalam bidang perikanan dan akuakultur mampu memberi nilai tambah kepada industri pengeluaran makanan sesebuah negara, walaupun wujud kekangan faktor persekitaran yang bersesuaian untuk penternakan.

Jelasnya, usaha itu secara tidak langsung dapat menjaga habitat semula jadi dan mengawal pengeluaran tangkapan bagi menjamin kelestarian sumber akuatik serta perikanan secara mampan.

Penyelidikan itu, katanya, dapat menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) berkaitan seperti SDG 13 (perubahan iklim) dan SDG 14 (hidupan air).

"Malaysia mampu menjadi rakan strategik dalam memacu industri akuakultur dan perikanan Qatar ke arah yang lebih maju dan berdaya saing.

"Perkongsian teknologi dan sumber maklumat dari kedua-dua universiti khusus bagi bidang ini menjadi contoh kepada institusi lain dalam pembangunan industri perikanan, baik di peringkat nasional mahupun global sesuai dengan aspirasi dan matlamat pembangunan lestari yang digariskan sebelum ini," katanya.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 12015
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 10:19:49.

logo-sirim