20 Atlet IPT Terima Habuan RM32,500 Cemerlang Di UNIVERSIADE Chengdu 2023

20 Atlet IPT Terima Habuan RM32,500 Cemerlang Di UNIVERSIADE Chengdu 2023

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal telah menyampaikan insentif kemenangan kepada 20 orang atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berjumlah RM32,500 hasil pencapaian cemerlang mereka pada temasya Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) Chengdu pada Julai lepas.

Penyertaan kali ini telah melakar sejarah baru kepada penanda aras prestasi atlet IPT di pentas tertinggi dunia apabila kontinjen negara telah berjaya memenangi pingat EMAS pertama di temasya ini setelah menanti selama 38 tahun sejak temasya pertama UNIVERSIADE di Kobe, Jepun pada 1985 menerusi atlet wusyu negara, Tammy Tan Hui Ling dari Asia Pasific University (APU).

Kejayaan cemerlang ini telah dituruti oleh atlet-atlet yang lain apabila turut menyumbang 1 Perak dan 5 Gangsa kepada kontinjen Negara. 1 Perak disumbang oleh pasukan terjun dan 5 Gangsa pula melibatkan 3 daripada Wushu dan 2 daripada Badminton.

Paling membanggakan, perenang negara, Bryan Leong Xin Ren (King’s College London) memadamkan rekod kebangsaan berusia 14 tahun milik Daniel Bego dalam acara 50 meter kuak kupu-kupu dengan masa 24.35 saat serta pelari sensasi 400 meter negara, Umar Osman pelajar dari Politeknik Ibrahim Sultan pula mencatat sejarah memadamkan rekod kebangsaan miliknya pada Sukan SEA Kemboja Mei lalu iaitu 46.34 saat sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam dengan masa 46.33 saat dan 46.09 saat serta layak beraksi di peringkat akhir.

Pada majlis yang sama, pelancaran Road To Surabaya 2024 turut diadakan. Malaysia bakal menyertai Kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 pada 25 Jun hingga 6 Julai 2024 bertempat di Surabaya dan Malang, Indonesia. 11 Negara ASEAN bakal mengambil bahagian dengan 19 acara sukan juga akan dipertandingkan.

KPT akan menggandakan usaha untuk menghantar atlet yang bukan sahaja mampu cemerlang dan memenangi pingat di Surabaya malah seterusnya akan menjadi bintang sukan masa hadapan negara.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2023
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 30 Oktober 2024, 10:30:11.

logo-sirim