DICE 2022 Memperkasa Keusahawanan Dalam Bidang Kandungan Kreatif Digital

DICE 2022 Memperkasa Keusahawanan Dalam Bidang Kandungan Kreatif Digital

Sebentar tadi telah berlangsungnya Majlis Penutup Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 2022 bagi meraikan pembangunan kandungan kreatif digital di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara.

Seramai 172 pelajar dan 43 pensyarah IPT turut serta dalam penghasilan 43 projek kandungan kreatif yang terdiri daripada trailer animasi, filem pendek, dokumentari, aplikasi augmented reality, aplikasi virtual reality dan aplikasi permainan mudah alih.

DICE 2022 merupakan salah satu usaha KPT dengan kerjasama UniSZA dalam mewujudkan platform kondusif kepada pelajar dalam bidang landskap kreatif, menaik taraf bakat, serta memperkasakan pembangunan produk dan inisiatif promosi hasil kreatif.

Program ini turut diperhebatkan dengan kerjasama bersama agensi dan rakan industri, antaranya Malaysia Digital Economy Corporation (MDeC), CRADLE Fund Sdn. Bhd., MYStartUP, KRU Entertainment, Warnakala Studio, MRANTI, Celcom, MZR Global, V3X Malaysia Sdn Bhd dan Tolahah Creative.

Majlis penutup dan pameran DICE 2022 telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Noraidah Abdullah, TSUB Bahagian Perancangan Strategik KPT dan turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Fadzli Adam, Naib Canselor UniSZA.

UPNM melalui Syarikat Pemula Maha Studio merangkul tempat pertama bagi kategori Video Kreatif, manakala Syarikat Pemula Fabul Ar Resources dari KK Selayang, merangkul tempat pertama bagi kategori Interaktif Media. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang bagi kategori-kategori yang dipertandingkan!

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2928
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 26 April 2024, 22:08:18.