Forum Presiden-presiden Universiti UTM 2023 Platform Pemangkin Pendidikan Tinggi

Forum Presiden-presiden Universiti UTM 2023 Platform Pemangkin Pendidikan Tinggi

Kerajaan sentiasa komited dalam meletakkan pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan negara sebagaimana yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri melalui kerangka Malaysia MADANI yang menekankan aspek penciptaan nilai dan makna.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia menyahut saranan itu dengan meletakkan sasaran untuk menjadikan negara sebagai hab bakat terunggul di rantau ini serta mempergiat jalinan kerjasama melibatkan pertukaran kepakaran juga pengalaman dengan negara luar.

YB Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bagi membuka tirai Forum Presiden-Presiden Universiti UTM (UTM-UPF 2023) di sini semalam.

Forum tiga (3) hari bertemakan "Menginovasi Solusi: Melebar Horizon" bertaraf global ini merupakan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UTM International yang telah dihadiri 25 orang presiden Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan 115 orang perwakilan daripada 11 buah negara.

UTM-UPF 2023 akan menjadi platform bagi perbincangan dalam mencari titik temu yang dapat menjadi pemangkin hala tuju baharu sektor pendidikan tinggi mendepani cabaran dewasa ini, di samping komited untuk mengeratkan jalinan kerjasama pelbagai bidang sesama negara yang hadir.

Tambah YB Menteri, beliau turut mencadangkan agar ditubuhkan sebuah platform bagi menyelaras visi dan misi pendidikan tinggi negara agar kekal berkualiti di samping dapat memupuk hubungan dan perkongsian yang lebih strategik dan bersepadu.

Hadir sama Duta Besar Romania ke Malaysia dan Brunei Darussalam, TYT Puan Nineta Bărbulescu; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr Azlinda Azman; dan Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1798
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.