iCompEX 2023 Medan Pelajar Tempatan Dan Antarabangsa Ketengah Bakat Daya Cipta Dan Inovasi

iCompEX 2023 Medan Pelajar Tempatan Dan Antarabangsa Ketengah Bakat Daya Cipta Dan Inovasi

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa mendukung semangat inovasi yang mampu merubah hala tuju Malaysia ke arah sebuah negara yang berdaya kreatif, berpengetahuan dan berkepakaran.

Selaras dengan kerangka Malaysia Madani, inovasi juga merupakan kunci utama kepada asas pembangunan bakat serta gagasan negara dalam menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal berkata demikian ketika berucap merasmikan International Innovation and Invention Competition Through Exhibition 2023 (iCompEx 2023) yang dianjurkan oleh Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Objektif penganjuran iCompEx 2023 adalah sebagai medan untuk para pelajar tempatan dan antarabangsa untuk memperagakan projek inovasi baharu berdasarkan daya kreativiti dan inovasi di samping mendapat pendedahan mengenai pelindungan hak cipta serta hak intelek.

Edisi ke-11 ini buat julung kalinya dibuka kepada pelajar antarabangsa dengan jumlah penyertaan sebanyak 332 buah projek dan turut melibatkan pelajar dari Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, China, Thailand dan Bangladesh.

Pada majlis yang sama, YB Timbalan Menteri turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persetujuan (MOA) di antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan UKM melibatkan pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa serta pemerkasaan kepakaran juri.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; dan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM, dan YBrs. Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1659
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.