Jom Masuk IPT 2022 Jelajah Ke Negeri Kelantan Minggu Ini

Jom Masuk IPT 2022 Jelajah Ke Negeri Kelantan Minggu Ini

Program Jom Masuk IPT 2022 kini meneruskan jelajah ke Zon Timur yang dilangsungkan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bermula 11 hingga 12 Jun 2022.

YBrs. Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT telah merasmikan program tersebut pagi tadi sambil diiringi oleh Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dr. Razli Che Razak serta YBrs. Dr. Wan Baharuddin bin Wan Mahmood, Pengarah Bahagian Standard Swasta memangku Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA JPT.

Pameran yang disertai oleh IPT awam dan swasta ini telah menarik minat ramai pengunjung terdiri daripada para lepasan sekolah, ibu bapa, guru dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat bagi meneruskan pengajian ke menara gading.

Para pengunjung turut singgah ke reruai yang menawarkan khidmat nasihat berkaitan simpanan dan pembiayaan pendidikan oleh PTPTN, semakan kelayakan dan akreditasi oleh MQA serta pelbagai agensi lain di bawah KPT.

Selain itu, pelbagai aktiviti seperti ceramah kerjaya dan keusahawanan, demonstrasi TVET, persembahan muzik, sesi cabutan bertuah, serta food truck turut diadakan bagi memeriahkan lagi Jom Masuk IPT edisi UMK kali ini.

Pakat maghi ghama-ghama ke Jom Masuk IPT Kelantan yang akan melabuhkan tirainya esok.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5125
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 26 April 2024, 22:08:18.