Kad MySiswa, Kad Pintar Pelbagai Guna Dan Manfaat Untuk Mahasiswa Dilancar

Kad MySiswa, Kad Pintar Pelbagai Guna Dan Manfaat Untuk Mahasiswa Dilancar

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, telah melancarkan secara rasmi inisiatif Kad MySiswa yang merupakan kad pintar dengan ciri pelbagai guna dan manfaat khusus untuk semua mahasiswa di Universiti Awam (UA) petang tadi.

Dibangunkan bersama RHB Islamic Bank (selaku rakan strategik pelaksana), kad tersebut merangkumkan pelbagai fungsi semua dalam satu iaitu kad matrik pelajar, kad debit, kad diskaun, kad akses kemudahan universiti serta e-dompet.

Idea inisiatif Kad MySiswa ini telah dicetuskan oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada tahun 2020 dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut hasrat tersebut sebagai refleksi bahawa Kerajaan sentiasa peka serta memahami denyut nadi golongan mahasiswa.

Mula diperkenalkan Mac 2023 lalu dengan nama Kad Prihatin Siswa, pelaksanaannya merupakan komitmen Kementerian dalam mengangkat Agenda Pemerkasaan Mahasiswa, memartabatkan gaya hidup mereka, sambil mewujudkan ekosistem kampus nirtunai (cashless campus) serata UA.

Sejak diperkenalkan, seramai 550 ribu pelajar telah mendapat manfaat dengan penyertaan daripada lebih 100 pedagang dan 319 vendor baharu di sekitar lokaliti kampus UA yang menawarkan keistimewaan eksklusif, diskaun juga promosi kepada para pemegang kad pintar tersebut.

KPT juga sedang meneliti kebolehlaksanaan inisiatif ini untuk diperluaskan kepada pelajar-pelajar politeknik dan kolej komuniti, dan seterusnya kepada mahasiswa di IPTS agar mereka turut sama berpeluang menikmati manfaat yang setara.

Pada masa yang sama, YB Menteri yang turun ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini turut berbuka puasa dan mendirikan solat fardu serta sunat tarawih berjemaah bersama kira-kira 2 ribu orang mahasiswa dan kakitangan dalam program kembara Semarak Ramadan beliau. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 484
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.