Kejohanan Sukan MASUM 2023 Medan Atlet IPT Pamer Kehebatan
Penganjuran temasya sukan di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menggambarkan betapa sektor ini mempunyai kepelbagaian, terutamanya dalam membina ketrampilan mahasiswa yang komprehensif serta mampu berdaya saing secara sihat dan positif melalui ekosistem pembangunan sukan yang telah direncana oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Biarpun terikat dengan tanggungjawab dunia akademia, atlet IPT masih mampu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila menyumbangkan sejumlah 85 pingat daripada 175 pingat yang diperolehi kontinjen Malaysia pada Sukan SEA baru-baru ini.
Ucap Ketua Setiausaha (KSU) KPT, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar ketika merasmikan Kejohanan Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Fasa 1 2023 di Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam.
Kejohanan sukan anjuran MASUM ini akan dijayakan oleh USIM yang telah dipilih sebagai tuan rumah bagi fasa 1 dengan lapan (😎 acara sukan dipertandingkan iaitu Bola Keranjang, Boling Padang, Bola Tampar, Bola Lisut, Bola Baling, Memanah, Menembak serta Taekwondo bermula 15 hingga 20 Ogos nanti.
Menurut YBhg. Dato' Seri KSU, pencapaian atlet IPT pada temasya Sukan Universiti Dunia UNIVERSIADE 2023 tempohari turut membuktikan KPT berada di landasan tepat sehingga berjaya membuka mata Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Sukan Negara dan juga Institut Sukan Negara.
Ini turut membuktikan bahawa program-program pembangunan sukan prestasi tinggi yang telah disusun menerusi Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) dan Pusat Sukan Tumpuan (PST) sepertimana yang telah disasarkan dalam Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT 2009) telah mencapai objektifnya.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato' Dr. Sharifuddin Md. Shaarani serta Pengerusi MASUM, YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2817