Kerajaan Tambah Baik Kadar Elaun Sara Hidup Pelajar Tajaan JPA Di IPT

Kerajaan Tambah Baik Kadar Elaun Sara Hidup Pelajar Tajaan JPA Di IPT

Kerajaan bersetuju untuk menaikkan 15% kadar Elaun Sara Hidup (ESH) bagi pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di luar negara kecuali kepada pelajar Ijazah Pertama di United Kingdom (UK) (telah dinaikkan pada 7 November 2022) dan juga kenaikan RM100 kadar ESH sebulan bagi pelajar tajaan JPA di dalam negara mengikut peringkat pengajian.

Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Program Cakna YAB Perdana Menteri Bersama Pelajar Tajaan JPA di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) petang tadi di Dewan Canselori Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kenaikan kadar ESH ini merupakan salah satu usaha Kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang tinggi khususnya para pelajar B40 yang tinggal di bandar-bandar besar negara pengajian.

Inisiatif semakan semula kadar ESH ini akan membolehkan pelajar-pelajar tajaan Kerajaan memberi fokus kepada pencapaian kecemerlangan akademik tanpa memikirkan bebanan kewangan pengajian, di samping memastikan penawaran penajaan Kerajaan adalah kekal releven dan berprestij.

Turut hadir dalam program ini ialah Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negata, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Dato' Dr. Zulkapli bin Mohamed; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Mohammad Yusof bin Apdal; dan Naib Canselor UKM, YBhg. Profesor Dato' Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3929
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.