Kerjasama USM-OPPSTAR Rintis Pembangunan Bakat Dan Kapasiti Sektor E&E

Kerjasama USM-OPPSTAR Rintis Pembangunan Bakat Dan Kapasiti Sektor E&E

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menyokong penglibatan pihak industri dalam program pembangunan bakat dan kapasiti melalui kerjasama yang boleh dimainkan oleh pusat inkubator Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, usahasama antara kedua-dua sektor tersebut boleh juga melibatkan program penyelidikan dan perkongsian kepakaran, terutamanya dalam bidang Elektrik dan Elektronik (E&E).

Di Universiti Sains Malaysia (USM) contohnya, kerjasama yang termeterai dengan OPPSTAR Berhad, sebuah syarikat semikonduktor tempatan yang terbabit dalam perkhidmatan reka bentuk Litar Bersepadu (IC) telah memanfaatkan peranan pusat inkubator di situ.

Bercakap kepada para media sempena kunjungan rasmi beliau ke pejabat OPPSTAR yang terletak di Pusat Inkubator Universiti USM pagi tadi, KPT turut menyatakan sokongan untuk universiti itu menerajui pusat latihan E&E bagi IPT tempatan dengan penyertaan daripada pihak industri melalui program Industry-Infused Program (IIP).

Katanya, setiap tahun IPT tempatan melahirkan hampir 4 ribu orang graduan dalam bidang tersebut, tapi melalui IIP, industri boleh mengoptimumkan peranan pusat latihan itu untuk melatih pelajar sesuai dengan keperluan dan kehendak produksi masing-masing.

Usaha ini dilihat dapat menyelesaikan masalah padanan kerja, sekali gus turut membolehkan graduan mendapatkan gaji premium.

"Kalau kita hendak negara kita ini berjaya dalam dasar perindustriannya dan juga ekonominya yang berasaskan pada inovasi, syarikat-syarikat dan industri kita mesti terlibat dalam 'front-end' (bahagian hadapan) industri" tambah beliau lagi.

Untuk itu, KPT turut menimbang cadangan untuk memberikan geran padanan (matching grant) kepada IPT dan industri yang menjalankan projek penyelidikan bersama-sama di masa hadapan.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), YBhg. Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hj. Hussin; Naib Canselor USM, YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta barisan pengurusan OPPSTAR Berhad.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1556
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.