KPT Diseru Jadi Penanda Aras Kecemerlangan Kepada Kementerian Lain Tahun Hadapan
"Biar apa pun perancangan serta penetapan hala tuju yang kita lakukan hari ini, semua itu harus dipimpin beberapa perkara secara tegas dan jelas".
Pesan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menyampaikan rumusan beliau selepas mendengar pembentangan hasil Seminar Perancangan Hala Tuju Kementerian Pendidikan TInggi (KPT) Tahun 2024 di sini pagi tadi.
Jelas beliau, KPT selaku penerima peruntukan kelima terbesar dalam Belanjawan 2024, bukan sahaja harus merancang dan melaksanakannya dengan baik, malah perlu juga menonjolkan pemikiran serta prestasi cemerlang yang mampu menjadi penanda aras kepada kementerian lain.
Malah, beliau mengingatkan kesemua pengurusan KPT yang hadir untuk terus mengekalkan mandat dan tugas utama iaitu mendidik dan melahirkan bakat terbaik tempatan, di samping melakukan penyelidikan dan meneroka ilmu terkini untuk kemaslahatan masyarakat juga negara.
Beliau turut menyarankan para pengurusan KPT untuk menjayakan perancangan tahun 2024 melalui pemerkasaan agenda pendigitalan dan memanfaatkan perkembangan teknologi, serta bersifat lebih holistik bagi melonjakkan pelbagai agensi dan segmen lain dalam sektor pendidikan tinggi negara.
Saranan beliau juga supaya KPT dapat mengadopsi pelbagai amalan yang menjadi mega-trends dunia (ESG dan SDG) dengan cara kerja terbaik yang merangkumi pelbagai aspek.
Antaranya, memastikan hala tuju dan sasaran KPT kekal praktikal sesuai dengan kapasiti kementerian; fokus kepada mengukuhkan kapasiti dan keupayaan sumber manusia; mempunyai pelan tindak balas (contigency) untuk menghadapi sebarang kemungkinan; semangat kerja berkumpulan; serta sentiasa meletakkan agenda dan kepentingan nasional sebagai fokus dan keutamaan.
Seminar dua (2) hari bermula semalam yang disertai oleh para pengurusan tertinggi KPT serta semua agensi di bawahnya itu dianjurkan bagi merangka hala tuju strategik kementerian tahun depan termasuk mencadangkan program dan inisiatif yang boleh dilaksanakan berdasarkan lima (5) kluster yang ditetapkan iaitu Penyediaan Bakat; Penyelidikan dan Inovasi; Pemindahan dan Perkongsian Ilmu; Pengantarabangsaan dan Ekosistem Pemboleh Daya.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 3162