KPT Dukung Kelestarian Agenda Keusahawanan Di IPT

KPT Dukung Kelestarian Agenda Keusahawanan Di IPT

Kementerian sentiasa menyokong agenda keusahawanan di IPT bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan IPT.

“Dalam konteks keusahawanan di sektor pendidikan tinggi, sejumlah 93,352 mahasiswa telah menceburkan diri dalam aktiviti keusahawanan atau perniagaan semasa dalam tempoh pengajian pada tahun 2021, jumlah ini meningkat sebanyak 35 peratus berbanding 68,937 orang pada tahun 2020.

“Daripada jumlah 90 ribu lebih ini pula, seramai 9,131 atau 9.78 peratus meneruskan aktiviti keusahawanan mereka selepas bergraduat. Ini melepasi sasaran enam peratus pelajar yang bergraduat menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya, yang telah KPT tetapkan pada tahun 2021,” kata YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program KPT Prihatin Keluarga Malaysia: Edisi Keusahawanan di Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.

Antara pengisian program yang dilaksanakan bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini ialah klinik keusahawanan dan jaringan perniagaan serta perkongsian pakar UMT berkenaan dengan ilmu pemasaran digital, promosi dan juga literasi perundangan perniagaan.

Dalam majlis sama, YB Menteri turut melancarkan Program Kembara Keluarga Simpan SSPN untuk membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan serta galakan awal memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak dan membentuk kesedaran penabungan sebagai jaminan masa depan Keluarga Malaysia.

Program yang dilaksanakan di seluruh negara ini telah bermula di Terengganu dan melibatkan lapan kawasan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM80,000 dan setiap kawasan diperuntukkan RM10,000.00. Seramai 100 orang pelajar asnaf di setiap kawasan akan menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 seorang.

Hadir sama YB Dato’ Seri Dr. Haji Ahmad Said, Pengerusi KETENGAH dan YBhg. Dato’ Sri Syed Hussien Al Habshee, Pengerusi SME

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3750
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 18:19:27.