KPT Kaji Cadangan Tubuh Majlis Perwakilan Pelajar Sabah Peringkat Kebangsaan
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti cadangan untuk menubuhkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sabah peringkat kebangsaan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud bersetuju dengan cadangan yang telah diutarakan oleh seorang daripada wakil pelajar dalam Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa bersama Mahasiswa Sabah 2024 di sini malam tadi.
"MPP peringkat kebangsaan tersebut tidak akan menyerap semua MPP (mahasiswa Sabah) sedia ada di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), sebaliknya sebagai penyatu kesemua suara para pelajar Sabah di perantauan," jelas beliau.
Tambahnya lagi, "perkara berikut akan diberi perhatian dan penubuhannya bakal memberi banyak manfaat kepada mahasiswa Sabah di IPTA kerana idea, isu dan cabaran yang ada akan dibincangkan di peringkat nasional".
Dalam majlis tersebut, YB Timbalan Menteri telah berbuka puasa bersama MPP Sabah yang sedang melanjutkan pengajian masing-masing di Universiti Awam (UA) sekitar Lembah Klang.
Selain sesi dialog bersama pelajar, YB Timbalan Menteri turut menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada setiap pelajar yang hadir sebagai memeriahkan lagi sambutan hari raya puasa nanti.
Beliau turut menitipkan pesanan untuk semua mahasiswa Sabah bersatu padu dan membuang stigma "kelas kedua" dalam minda masing-masing.
Menurutnya, keunikan budaya dan kedamaian yang terjalin sesama masyarakat Sabah harus menjadi kekuatan luar biasa apabila dipadukan dengan kecemerlangan akademik.
"Potensi Sabah untuk menjadi sebuah negeri yang maju, lebih-lebih lagi dengan pembukaan ibu negara Indonesia yang baharu nanti, sangatlah besar," ujar beliau.
Kira-kira 60 orang mahasiswa Sabah telah menghadiri majlis malam tadi sambil memanfaatkan platform tersebut sebagai ruang merapatkan hubungan kenegerian dan berkongsi pengalaman di rantau orang.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1572