KPT Sambut Hari Akademia 2023, "Akademia Pemacu Malaysia MADANI"

KPT Sambut Hari Akademia 2023, "Akademia Pemacu Malaysia MADANI"

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) amat menghargai peranan dan jasa besar ahli akademik negara yang bukan sahaja telah menyumbang kepada pencapaian kementerian, malah komitmen mereka turut membentuk kepada peradaban masyarakat kini.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin turut menarafkan golongan akademik sebagai satu profesion kritikal yang bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju profesion lain untuk berkembang dan mampan.

Beliau yang hadir menyempurnakan sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2023 bertemakan "Akademia Pemacu Malaysia Madani" di sini petang tadi turut menggariskan tiga (3) misi yang boleh digalas secara bersama antara KPT dan golongan akademik dalam memperkasakan peradaban bangsa Malaysia.

Antaranya, menyediakan negara dengan bakat terbaik; merumus segala kebijaksanaan, ilmu, pengalaman dan kepakaran untuk kemaslahatan masyarakat dan negara; serta memastikan masyarakat hidup dengan menghargai ketinggian ilmu dan akal berpandu nilai dan sikap yang unggul.

Bagi merealisasikan misi-misi tersebut, beliau mencadangkan agar ia dilaksanakan dengan strategi terkini melibatkan penggunaan teknologi semasa yang canggih serta menfokuskan usaha kepada proses membentuk bakat terbaik dengan pemahaman dan pendekatan baharu.

"Untuk memastikan yang tradisi ilmu dan kesarjanaan berupaya memikat minat anak muda, ahli akademik sendiri mesti beralih dan beranjak dari pemahaman yang terhad atau terlalu berorientasikan cara lama," tambah beliau.

Selain itu, beliau turut menganjurkan golongan akademik untuk mengoptimumkan kelebihan masing-masing dalam membina satu jaringan kepintaran dan kepakaran yang berupaya melonjak kebangkitan sebagai masyarakat Malaysia MADANI.

Dalam majlis yang sama, beliau turut melancarkan Buku Garis Panduan Program Sarjana Muda Perantisan (Apprenticeship Degree) yang merupakan inisiatif KPT dalam menggalakkan kaedah pembelajaran inovatif bagi memenuhi keperluan industri melalui kerjasama berimpak tinggi di antara kedua-dua pihak.

Beliau turut menyerahkan Surat Pelantikan Rakan Strategik Kursi Akademik Luar Negara yang diaktifkan semula pada tahun ini kepada empat (4) Universiti Awam (UA) yang terpilih iaitu Universiti Malaya bagi Kursi Pengajian Melayu di Victoria University of Wellington, Universiti Sains Malaysia bagi Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi Kursi Eropah bagi Pengajian Melayu di Leiden University, dan Universiti Teknologi MARA bagi Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University.

Turut diadakan adalah Sesi Penyerahan Watikah Universiti Peneraju Program Penyelidikan Translasional yang akan melaksanakan Program Penyelidikan Translasional 2023 yang bertujuan menghasilkan penyelesaian komprehensif terhadap isu-isu semasa negara melalui inovasi sosial serta mampu mengetengahkan hasil penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh universiti awam dan swasta yang banyak memberikan impak besar kepada pihak berkepentingan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3916
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.