Mahasiswa Kritis Tunjang Pembinaan Malaysia MADANI

Mahasiswa Kritis Tunjang Pembinaan Malaysia MADANI

Usaha membina Malaysia Madani memerlukan perikatan yang kuat dan akrab melibatkan seluruh kaum dan lapisan rakyat agar martabat negara dipandang tinggi dan dihormati sebagai sebuah negara yang makmur dan cemerlang.

Oleh itu, para mahasiswa perlu berfikiran kritis agar mampu membuat keputusan yang bernas bercirikan fakta, toleransi, keterbukaan dan hormat-menghormati dalam melahirkan generasi yang berimbang sifat manusiawi dan berdaya maju.

Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim mengungkapkan pesanan demikian ketika meluangkan masa bersama anak muda Sabah di program Temu Anwar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebentar tadi.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerjanya ke sana menggunakan kesempatan itu untuk beramah mesra dan berdiskusi seputar isu-isu terkini kemahasiswaan yang memerlukan perhatian beliau dalam memastikan kesejahteraan mereka terjaga.

Pada sesi yang sama, beliau turut menjawab pelbagai perihal semasa seputar Malaysia bagi memberi pencerahan berkenaan inisiatif dan tindakan yang telah diambil beliau selaku Perdana Menteri sebagai usaha memelihara kemakmuran dan kerukunan rakyat Malaysia seluruhnya.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, YBhg. Datuk Seri Panglima Haji Abdul Rahman Dahlan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; dan Naib Canselor UMS, YBhg. Datuk Prof. Dr. Kasim Hj. Mansor.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2043
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 18:19:27.