Malaysia Dan Brunei Darussalam Perkukuh Hubungan Dua Hala Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Malaysia Dan Brunei Darussalam Perkukuh Hubungan Dua Hala Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, hari ini menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi), Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam, Yang Mulia Dr. Azman Ahmad di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya hari ini.

Pertemuan tersebut bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia serta membincangkan mengenai potensi kerjasama berterusan dalam pendidikan tinggi kedua-dua negara terutama dalam aspek menjalankan penyelidikan bersama dan perkongsian kemudahan makmal.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan mengenai draf Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Malaysia dan Brunei Darussalam dalam bidang pendidikan tinggi. Delegasi Brunei turut diberi penerangan mengenai Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia, dasar dan inisiatif, sistem pengurusan pelajar, peranan serta skop Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).

Hadir sama dalam sesi ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman; Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPT, YBhg. Datin Noorazah Omar dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, KPT, Puan Fazidah Mustafa. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 647
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.