MALAYSIA #QuranHour 2023@KPT : Meriahkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Dan Hari Malaysia 2023 Peringkat KPT

MALAYSIA #QuranHour 2023@KPT : Meriahkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Dan Hari Malaysia 2023 Peringkat KPT

Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Seksyen Pusat Sumber dengan kerjasama Surau Ibadurrahman KPT telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin, Tazkirah Kemerdekaan dan Program MALAYSIA #QuranHour 2023@KPT semalam, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 peringkat KPT, selain sebagai tanda sokongan terhadap usaha mempromosikan budaya membaca Al-Quran yang dilaksanakan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

MALAYSIA #QuranHour merupakan program satu jam bersama al-Quran, digerakkan sempena momentum Hari Kebangsaan Malaysia. Program ini mengajak seluruh masyarakat memahami intipati dan erti kemerdekaan dalam membangunkan sebuah negara yang aman, utuh serta progresif, melalui intervensi yang diformulasikan daripada prinsip Al-Quran.

“Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar” melalui surah Al-Insan telah dipilih sebagai tema pada tahun ini dalam membentuk Malaysia MADANI, negara yang sejahtera, harmoni dan progresif dalam kalangan masyarakat dan khususnya warga KPT.

Antara pengisian program ini adalah Tazkirah Kemerdekaan oleh YBrs. Ustaz Mohd Ariffin Ramdzan, Pegawai Hal-Ehwal Islam, Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Kementerian Dalam Negeri dan sesi bacaan surah Al-Insan secara beramai-ramai.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Dr. Mohd. Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Encik Fazli Said, Setiausaha Bahagian BKP dan Encik Abid Abdul Jalil, Ketua Unit Audit Dalam, KPT.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2209
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.