Mesyuarat JTPK KPT Bilangan 8 Tahun 2023

Mesyuarat JTPK KPT Bilangan 8 Tahun 2023

Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Bilangan 8 Tahun 2023 pada hari ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) serta diurusetiakan oleh Bahagian Pembangunan, KPT.

Mesyuarat yang diadakan secara bulanan ini merupakan salah satu daripada mekanisme pemantauan pelaksanaan projek/ program serta prestasi perbelanjaan Bahagian/ Jabatan/ Agensi di bawah KPT yang mengguna pakai Peruntukan Pembangunan (DE) KPT.

Selain itu, antara perkara yang dibincangkan ialah perincian projek/ program pembangunan yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2024, persediaan dan tindakan yang perlu dilaksanakan oleh Bahagian/ Jabatan/ Agensi dalam usaha menambah baik urusan pelaksanaan projek/ program bagi tahun 2024.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah YBhg. Prof. Dato' Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor UKM; YBrs. Dr. Fary Akmal Osman, Agensi Pusat (Kementerian Kewangan Malaysia); Kementerian Ekonomi; Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM); Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), JPM; dan Agensi Pelaksana (Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran).

Turut hadir juga ialah Bahagian Pengurusan Maklumat dan Bahagian Biasiswa, KPT; wakil Pejabat Pembangunan Universiti Awam (UA); Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1892
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.