Penyelidikan Dan Inovasi Universiti Rancakkan Ekonomi Komuniti Dan Negara

Penyelidikan Dan Inovasi Universiti Rancakkan Ekonomi Komuniti Dan Negara

YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Datin Prof. Dr. Suhaiza Hanim Dato’ Mohamad Zailan, Pengarah Ungku Aziz Centre (UAC) Universiti Malaya (UM) di pejabatnya pagi tadi.

Pertemuan ini adalah sebagai perintis kepada universiti awam bagi memastikan keterlibatan Universiti Awam dalam merealisasikan agenda nasional dan negara untuk membasmi kemiskinan tegar melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi yang boleh memberikan nilai tambah kepada universiti, komuniti dan negara.

Satu pelan tindakan penyelidikan dan inovasi telah dibangunkan oleh UAC UM bagi membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat Malaysia selaras dengan inisiatif Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) seperti pembangunan minda dan motivasi, pengurusan kewangan, platform pemasaran produk, latihan keusahawanan, latihan kemahiran teknikal, pertanian dan pemadanan pekerjaan.

Selain berperanan dalam memberikan latihan kepada mahasiswa dan komuniti, UAC UM juga menyediakan platform kepada mahasiswa untuk mempromosikan idea-idea baharu seperti teknologi, sains, ekonomi, pertanian bandar yang bersifat ihsan dan mampan kepada pertumbuhan ekonomi global.

Hadir sama dalam sesi ini ialah YBrs. Puan Fazidah Mustafa, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pegawai-pegawai kanan KPT dan UAC UM.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1268
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.