Peranan Penasihat Kolej Komuniti Mampu Tingkatkan Minat Masyarakat Timba Ilmu Baharu

Peranan Penasihat Kolej Komuniti Mampu Tingkatkan Minat Masyarakat Timba Ilmu Baharu

Pagi tadi telah berlangsungnya majlis penyerahan watikah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti bagi Kedah juga Pulau Pinang yang telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang telah diwakili oleh Setiausaha Politiknya, YBhg. Datuk Hj. Mohammad Khairi Hj. A Malik telah bertemu dengan para pemimpin masyarakat di negeri-negeri tersebut untuk menerangkan fungsi serta manfaat yang ditawarkan oleh rangkaian Kolej Komuniti kepada rakyat.

Selain itu, beliau turut berharap para Pengerusi yang baharu dilantik ini akan menjalankan peranan serta tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Berteraskan konsep Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH), beliau mengajak mereka untuk mewar-warkan pelbagai jenis kursus pendek bercirikan teori dan amali yang diasaskan bagi membantu ahli komuniti tanpa mengira umur, kelayakan dan jantina untuk memperoleh ilmu baharu serta meningkatkan kemahiran mereka.

Menurutnya, kursus yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti mampu merubah taraf serta pendapatan mereka yang menyertainya, selain dirangka mengikut permintaan dan keperluan semasa ahli komuniti.

Watikah telah diserahkan kepada 9 orang Pengerusi mewakili 9 buah Kolej Komuniti di Kedah, manakala untuk Pulau Pinang pula seramai 6 orang Pengerusi mewakili 6 buah Kolej Komuniti.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1493
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.