PETRONAS, YTL Cement Dan Mastercard Bincang Peluang Kerjasama Dengan KPT

PETRONAS, YTL Cement Dan Mastercard Bincang Peluang Kerjasama Dengan KPT

Kerjasama strategik dengan pihak industri sentiasa menjadi hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperhebatkan lagi sektor pendidikan tinggi negara supaya hala tuju dan usaha meningkatkan keterlihatannya di peringkat global dapat direalisasikan dengan jayanya.

Apatah lagi apabila pihak industri yang turut merupakan peneraju dan pemain utama pasaran sudi menawarkan kepakaran, pengalaman, dana, teknologi serta jaringan kepada rakan strategik yang lebih luas di peringkat global sekali gus mampu memperhebat kesarjanaan akademia malah kebolehpasaran graduan juga.

Hari ini, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan tiga (3) sesi pertemuan iaitu dengan pihak PETRONAS, YTL Cement dan Mastercard bagi membincangkan peluang kerjasama dengan kementerian bagi membangunkan program berkaitan penyelidikan, penajaan, pendidikan serta latihan berkaitan TVET dan keusahawanan.

PETRONAS telah membentangkan berkenaan program Pembangunan Modal Insan dan Pendidikan PETRONAS yang memfokuskan bukan sahaja kepada melahirkan golongan Jurutera Bersepadu (Integrated Engineer) untuk masa depan tetapi juga berkaitan program penajaan kepada pelajar yang layak.

Bersama YTL Cement pula, YB Menteri telah diberi penerangan berkenaan cadangan mereka untuk menyediakan dana bagi menubuhkan sebuah konsortium menggabungkan beberapa universiti awam tempatan dan luar negara yang akan memfokuskan kepada kajian lanskap batu kapur yang ada di muka bumi Malaysia dan ASEAN demi kelestarian ekosistem serantau.

Pertemuan dengan Mastercard yang disertai oleh The Asia Foundation pula telah membincangkan berkenaan program STRIVE Malaysia yang diharap dapat menjalinkan kerjasama dengan rangkaian Kolej Komuniti di seluruh negara dalam memperkasa komuniti usahawan kecil wanita untuk melibatkan diri dalam ekonomi digital.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1772
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.