PKBM Platform Lahirkan Generasi Intelektual Yang Berfikiran Kritikal Dan Matang

PKBM Platform Lahirkan Generasi Intelektual Yang Berfikiran Kritikal Dan Matang

Mahasiswa diseru supaya menjadikan pidato sebagai platform untuk menzahirkan cita-cita besar kepada bangsa dan negara. Hal ini kerana sektor pendidikan tinggi berperanan menjayakan agenda Malaysia Madani dengan cara melahirkan generasi yang berfikir dengan matang.

Perkara ini ditekankan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Penutup dan Pertandingan Akhir Pidato Kebangsaan Bahasa Melayu (PKBM) Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023 (Edisi Pertama) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Tambah beliau lagi, terdapat tiga perkara perlu diberi perhatian dalam usaha mengangkat pidato sebagai seni dan kemahiran yang kritikal dan penting. Pertama, pidato adalah pentas untuk perkongsian bagi menzahirkan cita-cita dan mimpi besar untuk bangsa dan negara. Kedua, pidato adalah peluang melantun dan menguji idea besar dan ketiga, pidato adalah sebahagian usaha dalam melahirkan generasi intelektual yang berfikiran kritikal dan matang.

PKBM Piala Menteri Pendidikan Tinggi ini julung kali diadakan setelah penjenamaan semula dari Sesi Pemilihan Wakil Malaysia ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri. Pertandingan diadakan bertujuan untuk meningkatkan mutu Bahasa Melayu seiring dengan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu yang dilancarkan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi pada bulan Jun lalu.

Selain itu, program ini juga merupakan satu daripada Agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang mana mahasiswa diberi mandat penuh untuk menguruskan keseluruhan pelaksanaan program dari awal sehingga akhir dengan jayanya.

Johan PKBM edisi pertama ini telah dimenangi oleh Saudara Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Naib Johan dimenangi oleh Saudari Ivanatasha Abdul Majid daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan tempat ketiga dimenangi oleh Saudara Haura’ Faris daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Johan dan Naib Johan akan mewakili Malaysia ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri yang dijangka akan diadakan pada November kelak.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1364
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.