PLANETIIUM: Inisiatif UIAM Jaga Kesihatan Planet Secara Komprehensif

PLANETIIUM: Inisiatif UIAM Jaga Kesihatan Planet Secara Komprehensif

Institute of Planetary Suvival for Sustainable Well-Being atau ringkasnya, PLANETIIUM, merupakan iltizam terkini Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam menjaga kesihatan planet secara komprehensif dan rentas bidang, merangkumi peringkat molekular sehinggalah isu global untuk dimanfaatkan oleh komuniti dan industri.

Berucap ketika merasmikan PLANETIIUM di UIAM Kuantan pagi tadi, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin turut menyatakan bahawa PLANETIIUM merupakan institut penyelidikan pertama di institusi pendidikan tinggi (IPT) awam negara yang berteraskan Kesihatan Planet dengan memacu penyelidikan dan inovasi dalam agenda kelestarian dan kesejahteraan sejagat.

Fokus penyelidikan institut ini akan menyentuh berkenaan; impak serta cabaran ke atas kehidupan masyarakat susulan perubahan iklim, pencemaran, kehilangan biodiversiti, kemerosotan sumber semula jadi dan pemusnahan habitat.

PLANETIIUM turut memulakan projek makmal Frozen Zoo iaitu fasiliti penyimpanan beku pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang bertujuan untuk mengumpul, menyimpan, dan pemeliharaan jangka panjang sel, tisu, dan bahan pembiakan dari pelbagai spesies haiwan yang terancam.

Kata YB Menteri lagi, penubuhan PLANETIIUM dan fungsinya sangat berkait rapat dengan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara yang diumumkan oleh MOSTI tahun lalu.

Justeru, PLANETIIUM turut diseru untuk mengambil tindakan secara proaktif untuk menjalin hubungan dengan pelbagai pihak dan institusi supaya kepakaran dan ilmu dapat dikongsi serta mampu membuahkan hasil yang optimum.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Presiden UIAM, YBhg. Tan Sri Samsudin Osman; dan Rektor UIAM, YBhg. Prof. Emeritus. Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1855
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.