PM Lancar InvestED 'Melahirkan Tenaga Mahir Pasaran Modal'

PM Lancar InvestED 'Melahirkan Tenaga Mahir Pasaran Modal'

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah menghadiri majlis pelancaran InvestED 'Melahirkan Tenaga Mahir Pasaran Modal' yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim di ibu kota tengah hari semalam.

Program anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tersebut merupakan kemuncak kepada MoU yang dimeterai bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) April lalu bagi kerjasama membangunkan Program Graduan Pasaran Modal (CMGP).

Melalui CMGP, SC yang mewakili pihak industri dan institusi pasaran modal serta KPT yang mewakili para mahasiswa dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta tempatan berkolaborasi bagi mengatasi ketidaksepadanan antara graduan dan keperluan industri sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan, bukan sahaja di dalam negara malah ke pasaran bakat global.

Memetik ucapan YAB Perdana Menteri, beliau telah menyarankan keperluan untuk melakukan perubahan segera bagi mendepani cabaran kekurangan bakat berkemahiran tinggi di negara ini.

Beliau berharap agar para pelajar IPT yang hadir tadi dapat mengambil manfaat program InvestED ini supaya sama-sama dapat menggembleng idea, bakat dan tenaga dalam mempertingkatkan keupayaan untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1504
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.