Profesor Dato' Dr. Adeeba Kamarulzaman Julang Anugerah Tokoh Akademik Negara Kali Ke-15

Profesor Dato' Dr. Adeeba Kamarulzaman Julang Anugerah Tokoh Akademik Negara Kali Ke-15

Program kemuncak kepada sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan tahun 2023 iaitu Majlis Penyampaian Anugerah Akademik Negara ke-15 (AAN15) telah diadakan di ibu kota malam tadi bagi memberikan pengiktirafan tertinggi kepada ahli akademik negara paling terkedepan sumbangan serta pencapaiannya sepanjang tahun 2023.

Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim yang diwakili oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyampaikan anugerah kepada kesemua penerima dari setiap enam (6) kategori anugerah kali ini.

Merupakan ahli sarjana yang terkenal dalam bidang perubatan, YBhg. Prof. Dato' Dr. Adeeba Kamarulzaman telah dinobat sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara kali ke-15. Beliau yang telah membuat sumbangan besar dalam bidang pengajian dan penyelidikan perubatan negara terutamanya dalam kajian berkaitan penyakit berjangkit dan HIV turut membawa wang tunai berjumlah RM200 ribu berserta trofi dan sijil.

Selain itu, lima (5) orang lagi tokoh akademia lain turut menerima anugerah masing-masing berserta wang tunai RM50 ribu berserta trofi dan sijil.

Mereka ialah Prof. Madya Dr. Tan Jun Jue (USM) bagi Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal; Prof. Dr. Shamsul Bahri Abdul Razak (UMT) bagi Anugerah Penerbitan Buku; Prof. Madya Dr. Adibah Abdul Latif (UTM) bagi Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan; Dr. Noliza Mohd Isa (UTM) bagi Anugerah Pengajaran Kelompok Sains Gunaan; serta Ts. Dr. Mariani Abdul Hamid (UTM) bagi Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohd. Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; serta para Naib Canselor Universiti Awam.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2019
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.