Projek Pemindahan Ilmu UMT Tingkatkan Taraf Hidup Komuniti

Projek Pemindahan Ilmu UMT Tingkatkan Taraf Hidup Komuniti

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) komited bantu tingkatkan taraf hidup komuniti Parlimen Parit Sulong menerusi projek Translasional Ternakan Lebah Kelulut dan projek Ternakan Udang Galah serta Tanaman Sayuran melalui pemindahan ilmu yang dijalankan.

Hasrat ini direalisasikan melalui Program Kemuncak Tautan Mesra Komuniti Parit Sulong yang diadakan selama dua hari mulai semalam di sini.

Seramai 50 peserta yang terlibat dalam program ini terdiri daripada veteran tentera, ibu tunggal, golongan belia dan warga emas Parit Sulong.

Turut diadakan ialah Program Jelajah Johor Bersama Sekretariat Anak Johor (SOHOR) yang memfokuskan khidmat kemasyarakatan dan kesukarelawan yang disertai oleh 120 orang pelajar UMT.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi yang menyempurnakan majlis perasmiannya hari ini, berkata KPT mengharapkan agar IPT dapat menggunakan bidang kepakarannya untuk membangunkan masyarakat setempat berdasarkan kepada pendekatan inovasi sosial selari dengan fokus KPT iaitu “Memacu Kesejahteraan Komuniti”.

“Program UMT ini juga adalah selaras dengan program IPT for Society@Keluarga Malaysia (UNiTY) seperti mana yang telah saya umumkan semasa Majlis Amanat Menteri Pengajian Tinggi pada Januari 2022 yang lalu yang mengharapkan agar mahasiswa memainkan peranan mereka dalam pelaksanaan program bersifat kesukarelawanan,” ujarnya.

Hadir sama Datuk Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar), Dr Mohd Zabry Yusoff, TKSU (Pengurusan dan Pembangunan), Prof Dato’ Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Prof Dato’ Dr. Mazlan Abd. Ghaffar, Naib Canselor UMT.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 4055
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 18:19:27.